Advertisements
AFC Pertimbang Tukar Venue Aksi Indonesia vs Bahrain
Asia
MakanBola
Timnas Indonesia

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah menerima surat permohonan Bahrain berkenaan isu penukaran venue aksi pasukan itu dengan Indonesia pada Mac 2025.

Persatuan Bola Sepak Bahrain (BFA) mengemukakan permohonan tersebut selepas bimbang dengan keselamatan pasukan itu.

Ini selepas penyokong Indonesia bertindak meninggalkan cacian dan komen berbaur ancaman di platform media sosial membabitkan pasukan yang diberi jolokan Al-Ahmar itu.

Selain cacian, BFA turut melaporkan platform media sosial dan dalam talian mereka digodam. Perkara ini terjadi gara-gara ketidakpuasan hati penyokong Indonesia melihat pasukan mereka diikat 2-2 dengan Bahrain baru-baru ini.

Gol lewat Jasim Marhoon menafikan peluang anak buah Shin Tae-yong daripada meraih kemenangan pertama dalam Kumpulan C.

Susulan itu, AFC dalam satu kenyataan memaklumkan mereka telah menerima surat permohonan yang dihantar BFA berkenaan hal ini.

“AFC memandang serius perkara ini dan komited untuk memastikan keselamatan dan kebajikan semua pemain, pegawai dan penyokong terjaga serta mengecam semua bentuk cacian dan ancaman secara dalam talian.

“AFC akan membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut bersama FIFA, BFA dan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan terjamin bagi semua pemegang taruh yang terlibat dalam perlawanan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Penyokong Indonesia yang berang mahu pasukan itu meninggalkan AFC dan menyertai Konfederasi Bola Sepak Oceania (OFC) seandainya permohonan Bahrain diterima.

Berdasarkan kedudukan semasa, Al-Ahmar dan Tim Garuda masing-masing berada di tangga keempat dan kelima Kumpulan C dengan lima dan tiga mata.