Australia menumpaskan pasukan Thailand dengan keputusan 2-1 dalam aksi pertama saingan AFC Asian Cup 2026 di Al Shabab FC Arena, Riyadh.
Australia menurunkan Steven Hall di benteng terakhir dan Ethan Alagich menggalas lilitan kapten dengan Yaya Dukuly sebagai ayam tambatan.
Sementara itu, Thailand membariskan Chommaphat Boonloet di posisi penjaga gol dan Pichitchai Sienkrthok sebagai ketua pasukan bagi aksi ini.
Thailand membuka akaun jaringan seawal minit ke-8 menerusi Sittha Boonlha bagi memberikan kelegaan kepada kem pasukan Changsuek.
Thailand terpaksa akur apabila harus bermain dengan 10 orang selama 80 minit selepas Maneekorn dilayangkan kad merah pada minit ke-12 kerana mengasari Jordi Valadon.
Australia berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-29 hasil sepakan penalti menerusi kapten pasukan, Ethan Alagich.
Macallister meledak gol kedua pasukan Australia pada minit ke-30 sekali gus menjarakkan defisit jaringan dengan Thailand.
Kedua-dua pasukan tampak saling berbalas serangan pada akhir babak pertama namun tiada jaringan tambahan ditemui.
Aksi separuh masa pertama tamat dengan keputusan 2-1 memihak kepada pasukan kebangsaan Australia.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan tampak meningkatkan intensiti permainan bagi mencari gol tambahan.
Thailand kian buntu untuk mencari gol penyamaan pada awal minit babak kedua selepas pertahanan Australia tampak menguasai penuh kawalan bola.
Memasuki minit ke-75 kedudukan masih didahului oleh pasukan Australia dengan satu jaringan meskipun pemain-pemain Thailand memberikan tentangan yang sengit.
Aksi tamat dengan keputusan 2-1 memihak kepada pasukan kebangsaan Australia.