Vietnam mencipta kejutan dengan menewaskan wakil Asia Barat, Jordan dalam aksi pembukaan AFC U-23 Asian Cup.
Selepas meraih pingat emas Sukan SEA 2025, tumpuan skuad muda Vietnam kini beralih kepada saingan di peringkat Asia pula.
Meskipun berdepan tuan rumah, Arab Saudi, Jordan dan Kyrgyzstan, anak buah Kim Sang-sik dilihat tidak gentar dengan cabaran Kumpulan A.
Ini terbukti apabila pasukan itu turun menentang Jordan di Stadium Dewan Bandaraya Sukan Raja Abdullah, Jeddah.
Vietnam meraih gol pembukaan menerusi penalti Nguyen Dinh Bac pada minit ke-15. Ini selepas bola dikesan terkena tangan pemain Jordan, Mohammed Taha dalam kotak penalti.
Jordan cuba bangkit memburu gol penyamaan tetapi tidak berhasil. Sebaliknya, Vietnam menggandakan kelebihan gol tiga minit sebelum rehat menerusi Nguyen Hieu Minh.
Bersambung pada babak kedua, Jordan yang dibimbing Omar Najhi berusaha menembusi pertahanan skuad muda Pahlawan Bintang Emas.
Malangnya, setiap gerakan serangan yang cuba direncana digagalkan barisan pertahanan Vietnam.
Kelebihan dua gol yang dimiliki Vietnam terus bertahan sehingga wisel penamat. Keputusan ini menyaksikan Vietnam menerajui Kumpulan A dengan tiga mata.
Kedudukan kumpulan dijangka berubah apabila Arab Saudi dan Kyrgyzstan berentap dalam satu lagi aksi kumpulan pada awal pagi Rabu.