Pemain tengah Harimau Malaya, Afiq Fazail hanya mahu memberikan yang terbaik dan mengikuti arahan serta perancangan ketua jurulatih, Kim Pan-gon bersama Malaysia.
Bintang berusia 29 tahun itu kembali menyarung jersi Harimau Malaya setelah hampir 4 tahun tidak mendapat panggilan.
Beliau mengakui merasai perasaan yang amat teruja setelah kembali mendapat tempat bersama Malaysia.
“Bagi saya semuanya terletak di tangan jurulatih bagaimana beliau mahu kami bermain. Pemain harus ikut perancangannya dan memberikan yang terbaik.”
“Saya sedikit teruja untuk menyarung jersi Harimau Malaya,” jelasnya ketika sesi latihan aksi Kelayakan Piala Dunia tempoh hari.
Afiq bagaimanapun berjaya memberikan persembahan yang cukup memukau ketika membantu Malaysia menang ke atas Chinese Taipei.
Aksi cemerlangnya itu akhirnya terbalas apabila beliau sekali lagi mendapat kepercayaan untuk berada dalam senarai 25 pemain yang bakal dibawa oleh Kim Pan-gon ke kem latihan pusat Malaysia.
Persiapan ini sebagai persediaan untuk ke Piala Asia namun Afiq berdepan cabaran hebat daripada beberapa rakan sepasukan untuk mengekalkan tempatnya ke Qatar.
Skuad negara boleh membawa seramai 26 pemain termasuk tiga orang penjaga gol dengan aksi pembukaan menentang Jordan bakal berlangsung Pada 16 Januari 2024.