Ketua jurulatih Kuching City, Aidil Sharin, mempunyai perancangan tersendiri untuk pemain warisan negara, Gabriel Palmero, menjelang penampilan sulungnya bersama The Cats.
Palmero menyertai Kuching City pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia musim 2025/26 selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membenarkan tujuh pemain warisan negara yang digantung akibat dakwaan pemalsuan dokumen untuk beraksi sementara waktu.
Perkembangan itu membolehkan beliau menyertai Kuching City selepas kelab terdahulunya, CD Tenerife, menamatkan kontraknya pada November lalu.
Keputusan muktamad berhubung kes tersebut dijangka diputuskan pada penghujung Februari ini, dan kehadiran Palmero diharapkan mampu memperkukuhkan lagi kekuatan The Cats bagi menghadapi baki saingan musim ini.
Menurut Aidil Sharin, kehadiran Gabriel Palmero diyakini mampu memperkukuh pasukan Kuching City. Pada masa yang sama, beliau menegaskan bahawa tiada pemain seharusnya berasa selesa untuk berada dalam kesebelasan utama, sebaliknya setiap tempat perlu direbut dan dipertahankan melalui prestasi yang konsisten.
“Meskipun kehadiran Palmero dilihat akan beri persaingan sengit kepada bek kiri lain seperti Scott Woods, namun Aidil melihat ia akan menjadi kekuatan tambahan untuk barisan pemain terus berusaha merebut tempat dalam kesebelasan utama.”
“Ini ialah strategi dan pelan saya juga sebab saya tidak mahu pemain lain terus rasa selesa sebab di sini segalanya adalah tentang kerja keras untuk mereka berusaha merebut tempat.”
“Tapi saya gembira sebab setakat ini semua pemain saya memang tidak pernah pun rasa cepat selesa dan mereka tahu peranan masing-masing,” kata Aidil Sharin Sahak ketika ditemu bual oleh MFL.