Kuching City sah merekrut pertahanan kiri Harimau Malaya, Gabriel Palmero.
Ketibaan Gabriel Palmero diumumkan oleh pihak pengurusan Kuching City menerusi suatu hantaran di laman media sosial selepas khabar angin bertiup kencang tentang penghijrahan ini.
”Gabriel Palmero pemain baharu Kuching City,” umum kelab The Cats itu dalam satu hantaran.
Terdahulu, nama Gabriel Palmero jadi sebutan ramai selepas ada dakwaan peminat terserempak dengan pemain kelahiran Sepanyol ini di lapangan terbang selain gambar yang dimuat naik oleh beliau sendiri.
Pengumuman terkini oleh Kuching City tersebut sekaligus menjawab segala khabar angin ini dengan Bumi Kenyalang kini menjadi ‘rumah’ baharu buat Gabriel Palmero musim ini.
Untuk rekod, Gabriel Palmero tiba di Kuching sebagai ejen bebas selepas kontrak beliau bersama kelab lamanya, CD Tenerife telah ditamatkan akibat penggantungan oleh FIFA sebelum ini.