Petanda pemain warisan Harimau Malaya, Gabriel Palmero ke Kuching City semakin kuat.
Nama Gabriel Palmero menjadi bualan penyokong bola sepak tempatan apabila bekas pertahanan CD Tenerife ini telah pun dikaitkan bakal memperkuat pasukan Kuching City tidak lama lagi.
Hal ini selepas ketua jurulatih The Cats, Aidil Sharin memberi bayangan akan ada seorang pemain Malaysia yang berada di luar negara bakal memperkukuh pasukan daripada Sarawak itu
“Mungkin akan ada seorang lagi pemain tempatan, tetapi ini bergantung kepada bajet dan apa yang boleh saya katakan, pemain itu merupakan pemain tempatan yang kini beraksi di luar negara,” ujar Aidil Sharin pada 16 Januari lalu.
Kenyataan itu dikuatkan lagi apabila Gabriel Palmero memuat naik sekeping foto di Instastory yang memaparkan suasana seakan-akan berada di bandar Kuching, ibu negeri Sarawak.

Hantaran tersebut turut mencuri perhatian apabila kelihatan bayangan Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching Waterfront, yang menjadi mercu tanda bandar itu.
Walau bagaimanapun, tiada sebarang pengesahan rasmi lagi dari pihak Kuching City dan Gabriel Palmero sendiri berkaitan khabar angin ini ketika mana pemain tersebut masih bergelar ejen bebas.