Adakah bek warisan Harimau Malaya, Gabriel Palmero merupakan pemain yang dimaksudkan oleh jurulatih Kuching City, Aidil Sharin baru-baru ini?
Sejak dikenakan hukuman oleh FIFA pada bulan September lalu, nasib Gabriel Palmero umpama digantung tidak bertali apabila beliau ditamatkan kontrak oleh pasukan lamanya, CD Tenerife.
Status Palmero kini makin mendapat perhatian apabila CAS membenarkan beliau dan 6 lagi pemain warisan untuk turun beraksi bersama kelab masing-masing sehingga keputusan muktamad diumumkan.
Sungguhpun begitu, Palmero yang kini berstatus ejen bebas selain masih tidak memiliki kelab sejak November lalu boleh memilih bagi menyertai mana-mana pasukan untuk kembali beraksi.
Khabar angin bertiup kencang mengaitkan Gabriel Palmero dan Kuching City dalam kalangan penyokong seperti mana dilaporkan Stadium Astro tatkala tiada sebarang pengesahan rasmi lagi.
Ini ditambah pula dengan kenyataan jurulatih Kuching City, Aidil Sharin yang mengesahkan akan ada pemain Malaysia dari luar negara bakal memperkuat The Cats untuk hadapi baki aksi liga.
“Mungkin akan ada seorang lagi pemain tempatan, tetapi ini bergantung kepada bajet dan apa yang boleh saya katakan, pemain itu merupakan pemain tempatan yang kini beraksi di luar negara,” ujar Aidil Sharin pada 16 Januari lalu.
Setakat ini, Kuching City hanya membawa masuk Ariff Farhan dari Penang FC serta pemain tengah Jordan, Ahmad Israiwah ketika jendela perpindahan kedua yang telah ditutup pada 1 Februari lalu.