Pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak enggan mengulas tentang masa depan pemain pertahanan kebangsaan, Gabriel Palmero.
Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) telah membuat keputusan berhubung rayuan yang dibuat tujuh pemain warisan Malaysia termasuk Palmero baru-baru ini.
CAS memutuskan untuk mengekalkan hukuman penggantungan 12 bulan ke atas semua pemain tersebut. Meskipun begitu, mereka dibenarkan menjalani aktiviti bola sepak termasuk berlatih dengan kelab masing-masing.
Kesemua pemain hanya dilarang daripada menyertai perlawanan bola sepak secara rasmi sehingga tamat tempoh penggantungan.
Apabila diminta mengulas tentang masa depan Palermo, Aidil memaklumkan beliau tidak boleh memberi komen tentang perkara itu. Ini kerana itu bukan tugas dan peranannya untuk membincangkan perkara tersebut.
“Apa yang saya tahu dia hanya menandatangani kontrak dengan kami sehingga penghujung musim, saya tidak boleh menyebut apa-apa kerana apabila bercakap mengenai rundingan kontrak, ia bukan peranan saya dan bukan untuk saya juga untuk mengulas apa yang berlaku pada masa hadapan atau apa akan berlaku untuknya.
“Saya berharap yang terbaik untuknya dan sudah tentu saya menghargai masa dia bersama kita sebelum ini untuk beberapa perlawanan dan dia melakukannya dengan sangat baik dan dia seorang pemain yang sangat profesional,” katanya seperti dilaporkan TVS.
Aidil turut menasihati Palmero untuk berusaha mengekalkan kecergasan diri sepanjang tempoh baki penggantungan.
Sejak menyertai Kuching City pada Februari lalu, Palmero telah merekodkan tiga penampilan dan satu gol.