Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengumumkan keputusan berhubung rayuan yang difailkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan 7 pemain warisan berkaitan isu kelayakan untuk mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa.
Dalam kenyataan rasmi, CAS memutuskan untuk mengekalkan sebahagian keputusan yang dibuat oleh Fédération Internationale de Football Association sebelum ini, termasuk denda sebanyak CHF350,000 yang dikenakan terhadap FAM.
Pada masa sama, panel CAS memutuskan rayuan yang difailkan oleh tujuh pemain tersebut hanya diterima sebahagian. Hukuman penggantungan selama 12 bulan terhadap mereka dikekalkan, namun sekatan itu hanya terpakai kepada perlawanan rasmi dan tidak melibatkan semua aktiviti berkaitan bola sepak.
Keputusan ini bermakna pemain terbabit masih dibenarkan menjalani latihan bersama kelab masing masing sepanjang tempoh penggantungan tersebut.
Kes ini bermula pada 2025 apabila FAM memaklumkan kepada pemain Facundo Tomás Garcés Rattaro, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Gabriel Felipe Arrocha, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano bahawa mereka boleh memohon kewarganegaraan Malaysia untuk mewakili pasukan kebangsaan.
Para pemain kemudiannya menjalani proses naturalisasi dan diberikan pasport Malaysia bagi membolehkan mereka didaftarkan untuk beraksi bersama skuad kebangsaan.
Namun pada 25 September 2025, Jawatankuasa Disiplin FIFA memutuskan bahawa FAM dan pemain terbabit telah melanggar Kod Disiplin FIFA dengan menggunakan dokumen yang dipalsukan dalam proses naturalisasi serta penentuan kelayakan pemain.
Keputusan tersebut kemudian dikekalkan oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA pada 3 November 2025, yang mengesahkan denda CHF350,000 terhadap FAM serta denda CHF2,000 dan penggantungan 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak terhadap setiap pemain.
FAM bersama pemain terbabit kemudiannya memfailkan rayuan kepada CAS pada 5 Disember 2025. Dalam rayuan tersebut, FAM mengakui wujud kekurangan dari sudut institusi namun menegaskan bahawa pemain hanya memainkan peranan terhad dalam menyediakan dokumen yang diminta dan tidak terlibat menyediakan atau mengubah dokumen berkenaan.
Rayuan itu didengar oleh panel CAS yang dipengerusikan oleh Lars Hilliger bersama José Luis Andrade dan Massimo Coccia, dengan sesi pendengaran berlangsung pada 26 Februari 2026 di Lausanne, Switzerland.
Selepas meneliti bukti yang dikemukakan, panel CAS mendapati kesalahan memalsukan dokumen kelayakan memang berlaku dan hukuman penggantungan 12 bulan daripada beraksi dalam perlawanan dianggap munasabah serta seimbang.
Bagaimanapun, panel tersebut memutuskan bahawa larangan itu hanya perlu terpakai kepada perlawanan sahaja dan bukan kepada semua aktiviti berkaitan bola sepak, sekali gus membolehkan pemain terus menjalani latihan bersama kelab masing masing.
Tempoh penggantungan tersebut bermula 5 Mac 2026, dengan kredit turut diberikan bagi tempoh penggantungan yang telah dilaksanakan sebelum ini dari 25 September 2025 hingga 26 Januari 2026.
CAS turut memaklumkan bahawa keputusan yang diumumkan ini merupakan keputusan operasi tanpa alasan penuh, manakala penghakiman lengkap bersama justifikasi terperinci akan dikeluarkan pada masa akan datang.