Kuching City FC mengumumkan Ketua Jurulatih, Aidil Sharin Sahak akan terus kekal membimbing kelab itu selepas menandatangani kontrak baharu sehingga tahun 2029.
Perkembangan tersebut diumumkan menerusi satu kenyataan rasmi oleh Pengerusi Kuching City FC, YB Dato Fazzrudin Hj Abdul Rahman pada Rabu.
Menurut kenyataan itu, lanjutan kontrak selama 3 tahun tersebut mencerminkan keyakinan penuh pihak pengurusan terhadap kepimpinan, dedikasi serta visi jangka panjang Aidil Sharin dalam membawa Kuching City terus berkembang sebagai pasukan kompetitif di peringkat tertinggi bola sepak Malaysia dan Asia.
Sejak mengambil alih pasukan, Aidil Sharin dilihat berjaya memainkan peranan penting dalam membentuk identiti permainan Kuching City selain memperkukuhkan semangat berpasukan dalam skuad The Cats.
Malah, beliau turut membantu pasukan mencipta beberapa pencapaian membanggakan termasuk membawa Kuching City muncul antara pencabar utama dalam saingan domestik musim ini.
Pihak kelab percaya kesinambungan bersama jurulatih dari Singapura itu mampu memberikan kestabilan serta momentum positif dalam usaha membina masa depan lebih gemilang buat pasukan dan para penyokong.
Dalam masa sama, Kuching City FC turut merakamkan penghargaan kepada semua penyokong, penaja serta rakan strategik atas sokongan berterusan terhadap perjalanan kelab tersebut.
Dengan kontrak baharu ini, Aidil Sharin dijangka akan terus mengetuai perancangan jangka panjang Kuching City dalam usaha memperkukuhkan kedudukan mereka sebagai antara kelab yang semakin meningkat di arena bola sepak tempatan.
Untuk rekod, Kuching City bakal beraksi di pentas AFC Champions League Two (ACL2) pada musim hadapan selepas cemerlang menamatkan saingan Liga Super 2025-2026 di kedudukan kedua, di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT).