JDT & Kuching City Wakil Malaysia Ke Asia
MakanBola
Kuching City FC

Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC sah membawa cabaran Malaysia di peringkat Asia pada musim hadapan.

Ini selepas kedua-dua pasukan masing-masing bergelar juara dan naib juara Liga Super musim 2025/26.

JDT menamatkan kempen liga sebagai juara tanpa sebarang kekalahan dengan membelasah Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) 14-1.

Kemenangan itu juga membantu Harimau Selatan menyamai rekod dunia untuk rekod tanpa kalah terpanjang iaitu 108 perlawanan. Status juara liga melayakkan JDT ke Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).

Kuching City pula layak ke saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) selaku naib juara liga. Pencapaian itu dicapai dengan menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dalam aksi terakhir liga di Stadium Negeri.

Kemenangan itu sudah cukup untuk membantu Kuching City mengatasi cabaran Selangor FC yang menduduki tangga ketiga liga. Kuching City mengumpul 53 mata dengan Selangor (52 mata).

Kejayaan itu menyaksikan The Cats layak ke saingan peringkat Asia buat kali pertama dalam sejarah penubuhan pasukan itu.