Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak memaklumkan Gabriel Palmero kembali ke Sepanyol untuk bersama dengan keluarga.
Hal ini dinyatakan beliau apabila ditanya tentang status terbaru pemain pertahanan Harimau Malaya itu bersama Kuching City.
Selepas perlu menjalani baki penggantungan 12 bulan, pengurusan Kuching City melihat ini peluang buat Palmero kembali ke Sepanyol dan bersama keluarga.
Aidil turut mendedahkan pengurusan kelab sentiasa memberi sokongan dan berhubung dengan bekas pemain pertahanan CD Tenerife itu.
“Sudah tentu kami akan membenarkan beliau kembali dan bertemu dengan keluarganya. Kami mahu beliau merasa selesa, sudah tentu beliau merindui keluarga dan tiada guna kekal di sini kerana beliau tidak bermain.
“Kita mahu memberi sokongan kepada beliau dan saya fikir ia sesuatu yang bagus untuk beliau kembali buat masa ini dan sudah tentu kita akan sentiasa berhubung,” katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Palmero sempat beraksi sebanyak tiga perlawanan dan menjaringkan satu gol selepas menyertai The Cats pada Februari lalu. Beliau turut meninggalkan mesej bermakna buat para penyokong baru-baru ini.
Kuching City kembali menduduki tempat kedua Liga Super apabila menewaskan Penang FC 1-0. Gabriel Nistelrooy muncul wira dengan menjaringkan gol tunggal pada separuh masa pertama.