Ucapan Khas Gabriel Palmero Buat Peminat Kuching City
MakanBola
Kuching City FC

Pemain pertahanan kebangsaan, Gabriel Palmero meninggalkan mesej istimewa buat penyokong Kuching City FC.

Bekas pemain pertahanan CD Tenerife itu kini menjalani baki penggantungan 12 bulan bersama enam lagi pemain Malaysia.

Ini susulan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengekalkan hukuman penggantungan 12 bulan selepas mendengar rayuan yang dikemukakan tujuh pemain tersebut.

Meskipun digantung 12 bulan, mereka tetap dibenarkan menjalani aktiviti bola sepak termasuk berlatih bersama pasukan masing-masing. Mereka hanya tidak dibenarkan beraksi dalam aksi rasmi.

Susulan itu, Palmero meninggalkan mesej penghargaan buat para penyokong kerana sentiasa menyokong beliau sepanjang bersama The Cats.

“Terima kasih atas segalanya. Sejak saya mula bermain (bersama Kuching City), saya merasa selesa dan ia satu pengalaman yang bagus.

“Saya ucapkan selamat berjaya buat pasukan dan semua penyokong. Sentiasa bersama saya. Terima kasih atas segalanya,” katanya dalam satu video yang disiarkan di semua platform Kuching City.

Palmero menerima sokongan Kuching City termasuk presiden kelab, Dato’ Fazzrudin Abdul Rahman dan jurulatih pasukan, Aidil Sharin Sahak.

Fazzrudin dan Aidil Sharin bukan saja menasihati pemain berusia 24 tahun itu untuk mengekalkan tahap kecergasannya.

Malah, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) itu terbuka menerima khidmat Palmero bersama The Cats selepas tamat tempoh penggantungan.