Susulan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) minggu lalu, Gabriel Palmero dilaporkan bakal kembali ke Sepanyol tidak lama lagi.
Perkara ini dimaklumkan oleh Presiden Kuching City, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman apabila ditanya mengenai status Gabriel Palmero selepas pengumuman keputusan penuh CAS pada Khamis lalu.
Menurut beliau, pihak kelab telah berbincang terlebih dahulu berkenaan sebarang risiko sebelum menandatangani Gabriel Palmero
”Jadi, risiko itu telah dibincangkan dan sudah tentu pelawaan kami setimpal dengan risiko itu,” kata Datuk Fazzrudin Abdul Rahman dalam satu temubual yang disiarkan oleh Astro Awani.
”Jadi apabila perkara ini (hukuman CAS) berlaku, kami telah berbincang dengannya, dan Palmero faham dan sentiasa semangat untuk memberi khidmat bakti buat Kuching City di masa akan datang.”
Beliau tidak menolak kemungkinan untuk kembali menerima kehadiran Palmero sebaik tempoh penggantungan berakhir dan menghargai jasa pemain kelahiran Sepanyol ini kepada kelab.
”Saya sempat menasihati beliau agar kekal berlatih kerana 12 bulan bukannya lama. Saya juga memaklumkan bahawa kami sentiasa terbuka bagi menerima beliau setelah tamat tempoh penggantungan.
“Beliau memberi lebih depth kepada pasukan yang mana apabila kita meletakkan pemain kesebelasan utama dan menukarkannya dengan pemain gantian, kualiti (pasukan) masih sama.”
Menurut laporan tersebut, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman memaklumkan Gabriel Palmero masih bersama Kuching City sebelum menguruskan perjalanan pulang ke Sepanyol dalam masa terdekat.
Gabriel Palmero sempat melakukan 3 penampilan bersama Kuching City dan berhasil mencetak satu gol sebelum CAS kembali menggantung pemain berusia 24 tahun itu seperti mana hukuman FIFA.