Aidil Zafuan: Saya Menanti Langkah Seterusnya Di JDT
Liga Super
JST
Advertisements

Bek tengah Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Aidil Zafuan Abdul Radzak secara rasmi telah menggantung but beliau hari ini.

Perkara ini diumumkan sendiri oleh beliau menerusi satu hantaran di akaun Instagram peribadinya.

Sepanjang 11 tahun bersama Harimau Selatan, Aidil telah menjulang 26 buah trofi termasuk Liga Super dan Piala Malaysia 2023.

Advertisements

Walaupun mengakui tempoh tersebut merupakan satu tempoh yang indah sebagai pemain, beliau melihat sudah tiba masanya untuk bersara.

Malah, Aidil merasa bersyukur kerana Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim memberi peluang kepada dirinya menyertai barisan kejurulatihan JDT.

“Saya menanti langkah seterusnya dalam karier saya bersama JDT. Ia merupakan 11 tahun yang indah bersama JDT sebagai pemain, dan memenangi 26 trofi adalah suatu perasaan yang menakjubkan.

Advertisements

“Sudah tiba masanya untuk saya ‘menggantung but’ dan saya bersyukur kerana DYAM Tunku Mahkota Johor menawarkan saya untuk terus berada di sini dalam kapasiti kejurulatihan,” ujarnya.

Sementara itu, Aidil mengingatkan penyokong agar percaya dengan perancangan yang digerakkan JDT ketika ini.

Semalam, ramai penyokong terkejut apabila Harimau Selatan mengumumkan senarai jurulatih dan pemain yang dilepaskan pasukan itu. Antara nama yang tersenarai ialah jurulatih Argentina, Tano Solari.

Advertisements

Meskipun perubahan sebegini dikira mengejut, Aidil melihat itu bukan halangan buat JDT untuk terus menggondol trofi pada musim 2024-2025.

“Saya faham kelab sedang melalui perubahan dengan ramai pemain keluar, dan saya telah melihat dari masa saya di sini bahawa tidak kira apa jua perubahan, kami tetap memenangi trofi. Semua ini adalah kerana kestabilan dan visi yang dibawa oleh DYAM TMJ kepada JDT.

“Mari kita nantikan musim hadapan dengan harapan yang diperbaharui dan berusaha untuk meneruskan tradisi kemenangan kita,” tambahnya.

Advertisements

Aidil dijangka menggalas peranan kejurulatihan di bawah bimbingan jurulatih baru, Hector Bidoglio.

Beliau telah merekodkan lebih 200 penampilan dalam kariernya sebagai pemain bola sepak profesional. Selain JDT, Aidil juga pernah beraksi untuk ATM dan Negeri Sembilan FC.

Beliau juga telah merekodkan 96 penampilan bersama Harimau Malaya sejak membuat kemunculan pertama pada tahun 2007.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram