Air Mata Jurulatih PDRM Gugur
MakanBola
PDRM FC

Jurulatih PDRM FC, Eddy Gapil tidak dapat menahan diri daripada menitiskan air mata apabila mengenang situasi yang melanda pasukan itu.

Sejak saingan musim 2025/26 bermula, PDRM dibelenggu masalah tunggakan gaji yang serius. Isu ini sedikit sebanyak mempengaruhi prestasi pasukan itu di atas padang.

Selain tersingkir dalam saingan Piala FA musim 2025/26, PDRM turut menduduki tangga ke-13 liga dengan enam mata.

Pasukan itu hanya meraih satu kemenangan, tiga keputusan seri dan sembilan kekalahan.

Eddy mengakui situasi ini bukan mudah dihadapi beliau, staf kejurulatihan dan para pemain. Pada masa sama, beliau masih berharap seluruh pasukan dapat kekal bersatu sehingga tamat musim ini.

“Kita bersaing dalam Liga Super, tetapi kita diuji dengan situasi sebeginilah. Satu cabaran yang besar, besar pada saya.

“Saya tak tahu nak luahkan perasaan itu bagaimana, tapi sebabnya masih setia bersama, berlatih bersama, dan bergurau bersama dengan pasukan kalau kita dilanda masalah sebegini.

“Dan harapan saya agar pemain-pemain ini boleh setia sehingga kita habis musim,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

Isu tunggakan gaji PDRM telah menarik perhatian MFL. Meskipun telah didenda sebanyak tiga kali dan dikenakan sekatan perpindahan, isu tersebut seakan tiada kesudahan.

Justeru, isu membabitkan PDRM dan satu lagi pasukan, Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) bakal dibincangkan MFL dalam satu mesyuarat yang akan diadakan dalam masa terdekat.