Dua bekas pemain Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) mendakwa pasukan itu masih belum melunaskan tunggakan gaji mereka.
Sebelum ini, Kelantan TRW dikenakan denda sebanyak tiga kali berjumlah RM70,000 oleh First Instance Body (FIB) dan sekatan perpindahan.
Ini kerana pengurusan pasukan itu gagal melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai musim lalu.
Kelantan TRW kemudiannya diberi tempoh sehingga 31 Disember 2025 untuk melunaskan semua tunggakan gaji.
Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, tindakan lebih tegas akan menanti pasukan Pantai Timur itu.
Kini, penjaga gol Penang FC, Khatul Anuar Md. Jalil dan pemain pertahanan Kedah FA, Afzal Akbar mendedahkan masih belum menerima sebarang penyelesaian daripada Kelantan TRW.
Khatul telah memuat naik gambar logo pasukan itu dan surat aduan kepada FIB di X. Afzal pula memohon FIB mengambil tindakan tegas terhadap Kelantan TRW seperti dinyatakan dalam kenyataan pada November lalu.

“Sehingga pada tarikh terakhir 31 Disember 2025. Tiada bayaran gaji tertungak dijelaskan oleh pihak pasukan (Kelantan The Real Warriors).Ini satu bentuk pembulian kepada para pemain dan jurulatih.
“Mohon pihak MFL / FIB mengambil tindakan yang lebih tegas seperti mana kenyataan yang dikeluarkan pada 14 November 2025 di bawah Artikel 14 (1) (e) Peraturan FFP MFL bagi musim 2025-2026,” katanya di Instagram Story.
Situasi ini dijangka merumitkan perancangan Kelantan TRW terutama menjelang tetingkap kedua perpindahan Liga Super yang akan dibuka tidak lama lagi.