Akmal Rizal Rayu Kelantan TRW Selesaikan Isu Gaji
MakanBola
The Real Warriors

Penolong ketua jurulatih Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC), Akmal Rizal Ahmad Rakhli merayu agar isu gaji yang membelenggu pasukan itu segera diselesaikan.

Hal ini dinyatakan beliau selepas aksi Liga Super antara Kelantan TRW dan Terengganu FC di Stadium Selayang pada 6 Mac lalu.

Akmal Rizal memohon pengurusan pasukan menyelesaikan isu gaji ini dalam masa terdekat. Ini kerana beliau melihat penyelesaian isu tersebut bukan saja mampu menaikkan semula moral pemain.

Malah, ini amat membantu para pemain untuk membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“Saya merayu kepada pihak pengurusan, tolonglah selesaikan isu-isu yang berlaku sekarang. Pemain bermain dalam bulan Ramadan, ada enam perlawanan,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

“Kita bergerak ke Kuala Lumpur. Persiapan untuk Ramadan baru-baru ini, kemudian persiapan untuk hari raya dan kena fokus untuk bola sepak.

“Saya rasa benda-benda ini sedikit sebanyak mengganggu mental para pemain. Jadi, saya harap perkara ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat ini agar dapat kembalikan moral para pemain sebelum menghadapi Penang.”

Kelantan TRW berdepan isu tunggakan gaji selama dua bulan seperti yang dilaporkan oleh Zulhelmi. Perkara ini turut dikongsikan penjaga gol pasukan itu, Azfar Arif Sukri di media sosial baru-baru ini.