Seorang pemain Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) mendedahkan beliau menyambut kelahiran cahaya mata baharu tanpa gaji.
Perkara ini dikongsikan penjaga gol, Azfar Arif Sukri menerusi satu hantaran di Instagram Story. Meskipun gembira bergelar bapa pada bulan Ramadan, Azfar mengakui isu gaji memberi kesukaran kepadanya.
“Alhamdulillah, selamat bersalin. Tapi bersalin tanpa gaji ini agak perit ya. Bilalah nak masuk,” katanya.
Selepas menyelesaikan isu tunggakan gaji membabitkan pemain musim lalu, Kelantan TRW kini dilaporkan berdepan isu tunggakan gaji selama dua bulan.
Azfar bukan satu-satunya individu yang mengeluh tentang isu tersebut. Malah, perkara sama turut dikongsikan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
“2-0 untuk dua bulan, pemain dan jurulatih Kelantan TRW terpaksa ikat perut menjelang Lebaran,” katanya di X.

Isu ini dilihat sedikit sebanyak mempengaruhi prestasi semasa pasukan Pantai Timur itu. Terbaru, Kelantan TRW tewas 2-0 kepada Terengganu FC dalam aksi terbaru Liga Super.
Gervane Kastaneer dan Shervoni Mabatshoev memastikan Peteh kembali ke Kuala Terengganu dengan tiga mata penuh.