Liga Super: Terengganu Lepasi Tentangan Hebat Kelantan TRW
MakanBola
TERENGGANU FC

Terengganu menundukkan pasukan tuan rumah, Kelantan TRW dengan keputusan 2-0 dalam aksi minggu ke-20 saingan Liga Super musim 2025/26 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Jumaat.

Kelantan TRW membariskan Damyan Damyanov di benteng terakhir. Azam Azih pula menggalas lilitan kapten, manakala Syafik Ismail menjadi ayam tambatan pasukan.

Sementara itu, Terengganu menurunkan Suhaimi Husin di posisi penjaga gol. Gandingan berbisa Gervane Kastaneer dan Shervoni Mabatshoev pula mengemudi jentera serangan Sang Penyu.

Kedua-dua pasukan bermula garang dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya ke arah gawang lawan masing-masing bagi meraih kemenangan selepas tewas dalam aksi minggu ke-19.

Terengganu menyangka mereka membuka tirai jaringan hasil Kastaneer. Walau bagaimanapun, percubaan beliau gagal menepati sasaran gawang pasukan Kelantan TRW.

Selepas itu, Kelantan TRW turut melepaskan beberapa percubaan berbahaya menerusi barisan hadapan kelab tersebut namun ketangkasan penjaga gol Sang Penyu, Suhaimi Husin harus diberi pujian. Keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Peteh meneruskan tekanan ke atas kubu pertahanan Kelantan The Real Warrior tetapi tidak berhasil.

Pada minit ke-49, rembatan padu Shervoni Mabatshoev hanya singgah di palang gol pasukan tuan rumah, menghadiahkan kelegaan besar kepada kem Kelantan TRW.

Gervane Kastaneer akhirnya berjaya membuka akaun jaringan pada minit ke-57 apabila beliau melepaskan satu rembatan kencang yang tidak mampu diselamatkan oleh penjaga gol lawan.

Pada penghujung separuh masa kedua, Kelantan TRW menggandakan asakan, tetapi tetap gagal mendapatkan gol penyamaan.

Shervoni Mabatshoev meledak gol kedua aksi pada masa kecederaan babak kedua menerusi sepakan penalti sekali gus memastikan kemenangan milik Sang Penyu di Stadium MP Selayang pada Jumaat.

Gol yang diharapkan tuan rumah tidak juga kunjung tiba, sekali gus menyaksikan keputusan 0-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Terengganu FC kekal di tangga kelima dengan 31 mata. Kelantan TRW pula kekal di tangga kesebelas dengan 15 mata.