Pemain sayap lincah Terengganu FC, Akhyar Rashid disahkan mengalami kecederaan serius ketika aksi menentang KL City dalam perlawanan minggu ke-19 saingan Liga Super musim ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 27 Februari lalu.
Menurut Terengganu FC, mereka ingin memaklumkan perkembangan terkini mengenai keadaan salah seorang pemain pasukan selepas mengalami kecederaan ketika aksi menentang KL City baru-baru ini dan kelab turut mendoakan kesejahteraan pemain tersebut.
“Pihak pengurusan Terengganu FC ingin memaklumkan bahawa pemain sayap pasukan, Akhyar Rashid telah mengalami kecederaan kepatahan tulang selangka di bahagian kanan selepas menjalani pemeriksaan lanjut oleh pasukan perubatan kelab.”
“Berdasarkan penilaian awal pihak perubatan, tempoh pemulihan bagi kecederaan tersebut dianggarkan mengambil masa sekitar empat hingga enam minggu sebelum beliau dapat kembali menjalani latihan dan menyertai pasukan seperti biasa.”
“Pihak pengurusan, barisan kejurulatihan serta seluruh warga kelab mendoakan agar Akhyar diberikan kekuatan dan dipermudahkan proses pemulihan. Kami berharap beliau dapat kembali pulih sepenuhnya serta bersama semula pasukan dalam masa terdekat,” kata kelab Terengganu FC dalam satu kenyataan di laman media sosial pada Jumaat.
Ketiadaan Akhyar Rashid membuka ruang buat pemain antarabangsa Tajikistan, Shervoni Mabatshoev, untuk mengisi posisi sayap kiri dalam aksi-aksi mendatang.