Nama pemain tengah Harimau Malaya, Endrick dos Santos menjadi bualan media Vietnam baru-baru ini.
Ini selepas pemain tengah Ho Chi Minh City FC (HCMC FC) itu membantu Malaysia bergelar juara Pestabola Merdeka 2024. Skuad negara muncul juara dengan menewaskan Lubnan 1-0 di pentas final.
Portal sukan Vietnam, TheThao247 melaporkan hantaran mudah Endrick pantas disempurnakan Romel Morales untuk meletakkan skuad negara di hadapan.
Gol tersebut sudah cukup memastikan Malaysia menamatkan penantian 11 tahun bergelar juara Pestabola Merdeka. Kali terakhir skuad negara muncul juara kejohanan itu ialah pada 2013.
Impak Endrick tidak terhad kepada aksi Malaysia dan Lubnan sahaja. Kemasukan beliau pada separuh masa kedua membantu skuad negara menewaskan Filipina 2-1.
Kemasukan pemain berusia 29 tahun itu meningkatkan serangan demi serangan Malaysia ke atas The Azkals sekaligus membawa kepada penalti buat skuad negara.
Penalti berkenaan mudah disempurnakan Safawi Rasid yang menewaskan kapten Filipina, Neil Etheridge sebagai gol kemenangan buat Harimau Malaya.
Impak positif Endrick bersama Harimau Malaya dijangka ditagih HCMC menjelang sepak mula V. League 1 yang bakal membuka tirainya pada 14 September ini. HCMC bakal turun menentang Viettel pada 15 September.
Endrick menyertai HCMC secara pinjaman selama semusim daripada kelab gergasi selatan tanah air, Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC).