Tonggak tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Endrick Dos Santos membawa haluan baharu ke Vietnam.
Berita ini diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Alistair Edwards menerusi satu hantaran di media sosial Johor Southern Tigers.
Edwards mengucapkan selamat maju jaya buat Endrick yang bakal menyarung jersi Ho Chi Minh City dan seorang lagi pemain JDT, Fergus Tierney yang telah menyertai Chonburi FC.
“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Endrick Dos Santos dan Fergus Tierney berikutan perpindahan secara pinjaman masing-masing ke Vietnam dan Thalland.”
“Endrick akan menyertai Kelab Vietnam Ho Chi Minh City FC manakala Tierney telah menyertai Chonburi FC di Thailand.”
Beliau berharap kedua-dua pemain ini bakal memperoleh sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman di sana bagi membantu JDT pada masa akan datang.
“Kami berharap pinjaman ini memberi manfaat yang membolehkan Endrick dan Tierney memperoleh pengalaman berharga yang akan membuahkan hasil bagi Harimau Selatan pada masa hadapan.”
Terdahulu, Fergus Tierney melengkapkan perpindahan secara pinjamannya ke kelab Thailand, Chonburi FC dan sudahpun meledak dua gol sejak menyarung The Sharks.
Musim ini, Endrick merekodkan 4 penampilan bersama skuad Harimau Selatan dan pemain naturalisasi negara ini masih belum mencetak sebarang gol mahu pun bantuan jaringan.