Nama penyerang berbisa Selangor FC, Chrigor Moraes dilaporkan berada dalam radar Kuching City FC.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) The Cats, Iswandi Ali Hassan mengakui penyerang Brazil itu memiliki ciri peledak yang dimahukan pasukan itu.
Meskipun begitu, Iswandi melihat kekangan dari segi kewangan dan kontrak sebagai halangan untuk mendapatkan Chrigor.
“Secara peribadi, saya melihat Moraes sebagai penyerang yang memang kita mahukan. Cuma, kita perlu menghormati kontraknya di Selangor dan mengambil kira kemampuan kewangan kelab.
“Kita tahu kualiti dan keupayaannya. Bukan mudah mendapatkan pemain seperti itu kerana nilainya juga tinggi,” katanya seperti dilaporkan Suara Sarawak.
Iswandi turut mengakui Kuching City kini mencari penyerang baharu. Selain isu jadual padat, pasukan itu juga turut kehilangan Ronald Ngah Wanja dan Ajdin Mujagic akibat kecederaan.
Meskipun begitu, The Cats menyerahkan kepada jurulatih Singapura, Aidil Sharin Sahak untuk menentukan pemain mana berpotensi menyertai pasukan itu.
“Soal pemain yang diidamkan terpulang kepada jurulatih Aidil. Tetapi secara peribadi, Moraes memang antara penyerang yang kita cari.
“Kita sebenarnya sudah mempunyai penyerang, cuma Ronald Wanja dan Ajdin Mujagic sedang mengalami kecederaan disebabkan terlalu banyak perlawanan.
“Saya berharap penyokong memahami keadaan ini. Kita sedang berusaha menambah baik pasukan untuk menghadapi kejohanan akan datang,” tambahnya.
Sejak menyertai Selangor pada musim lalu, Chrigor sudah merekodkan 61 gol dalam 65 penampilan semua kejohanan.
Beliau juga memintas rekod jaringan terbanyak semusim yang dilakar legenda Indonesia, Bambang Pamungkas pada musim sama.
Semakan di Transfermarkt menunjukkan Chrigor masih memiliki kontrak sehingga Jun 2027 dan memiliki nilai sebanyak €900,000 (RM4.06 juta).


