Dua gol penyerang Selangor FC, Chrigor Moraes dalam aksi separuh akhir pertama Shopee Cup membantu beliau memintas rekod legenda Indonesia, Bambang Pamungkas.
Ini kerana pengurusan Selangor memaklumkan bekas penyerang Buriram United itu sudah menjaringkan 40 gol musim ini.
Dua gol ketika menentang Thep Xanh Nam Dinh FC (Nam Dinh FC) bukan saja memberi kelebihan agregat 2-1 buat Merah Kuning untuk aksi timbal balik.
Malah, ini membantu Chrigor mencipta rekod baru dalam catatan sejarah Merah Kuning. Ini kerana beliau memintas rekod Bambang iaitu 39 gol yang dicipta pada musim 2005.
Chrigor menghargai sokongan rakan sepasukan dan penyokong membantunya meledakkan banyak gol musim ini. Sokongan semua pihak membantunya tampil cemerlang di atas padang.
“Saya sangat gembira dapat menjaringkan gol dan membantu pasukan. Sokongan daripada rakan sepasukan dan penyokong banyak membantu saya fokus dan beraksi dengan baik.
“Sejak tiba di Selangor, saya rasa seperti di rumah sendiri dan itu banyak membantu prestasi saya,” katanya.
Jurulatih Selangor, Kim Pan-gon turut memuji kualiti yang dimiliki Chrigor. “Chrigor bekerja keras, bukan sahaja menjaringkan gol tetapi juga dalam pertahanan.
“Beliau seorang pemimpin, tidak mementingkan diri sendiri, sentiasa mengambil berat tentang rakan sepasukan dan setiasa menjaga keharmonian serta moral tinggi dalam pasukan,” ujarnya.
Selain memburu tiket final Shopee Cup, Selangor juga memburu kedudukan kedua liga. Ini kerana slot naib juara menjamin kelayakan ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim hadapan.
Justeru, bisa Chrigor dijangka ditagih Pan-gon untuk merealisasikan dua misi berkenaan buat Selangor.