Shopee Cup: Selangor ‘Diamkan’ Nam Dinh Di Stadium MBPJ
MakanBola
Selangor FC

Bisa penyudah Chrigor Moraes menjadi azimat buat Selangor FC apabila membantu mereka menewaskan kelab Vietnam, Nam Dinh, dengan keputusan 2-1 dalam aksi separuh akhir pertama ACC Shopee Cup yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Selangor yang dibimbing Kim Pan-gon menyenaraikan skuad terbaik dengan Chrigor Moraes, Faisal Halim dan Safuwan Baharudin di kesebelasan utama. Manakala Nam Dinh pula menurunkan pemain naturalisasi Vietnam, Nguyen Xuan Son dan pemain antarabangsa Afrika Selatan, Percy Tau untuk mendapatkan jaringan,

Aksi dimulakan dengan Nam Dinh dan Selangor masing-masing cuba mendapatkan rentak permainan yang dilihat agak mencabar apabila permukaan padang licin akibat hujan yang turun pada waktu petang.

Nam Dinh mendapat peluang pertama untuk menjaringkan gol pada minit ke-22 melalui Percy Tau namun percubaannya berjaya diselamatkan Sikh Izhan di gawang Selangor.

Selangor yang jarang mengasak ke kubu Nam Dinh berjaya mendapatkan jaringan pendahuluan pada minit ke-37 hasil penyudah Chrigor Moraes hasil umpanan kemas Quentin Cheng di sayap kanan.

Ketinggalan satu jaringan, Nam Dinh menggandakan asakan dan ianya nyata berhasil apabila Nguyen Van Vi meledak jaringan penyamaan selepas pemain kebangsaan Vietnam itu menyudahkan hantaran leret Percy Tau.

Jaringan itu sekaligus menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan terikat 1-1.

Bersambung babak kedua, Nam Dinh terus mengasak ke kubu Selangor dan hampir mendapatkan jaringan kedua melalui Percy Tau namun Sikh Izhan sekali lagi melakukan penyelamatan cemerlang.

Selangor mula menemui rentak permainan yang lebih meyakinkan, mengatur gerakan pantas ke kubu Nam Dinh dengan memanfaatkan kelajuan larian Faisal Halim dan Hugo Boumus sebagai penggerak utama serangan.

Hasil usaha berterusan, Selangor akhirnya berjaya menambah jaringan kedua menerusi penyudah kemas Chrigor Moraes pada minit ke-58, hasil hantaran tepat Quentin Cheng. Gol tersebut mengubah kedudukan kepada 2-1, sekali gus meletakkan Selangor di hadapan.

Tersentak dengan jaringan itu, Nam Dinh menggandakan usaha untuk mencari jaringan penyamaan. Percy Tau sekali lagi hampir meledak pada minit ke-74 namun percubaannya melambung tinggi.

Benteng Selangor yang dibarisi Safuwan Baharudin, Quentin Cheng, Zikri Khalili dan Mamadou Diarra juga dilihat lebih tenang di separuh masa kedua dengan acap kali menggagalkan pergerakan pemain Nam Dinh.

Biarpun kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun tiada gol tambahan berjaya dihasilkan. Selangor akhirnya menamatkan aksi separuh akhir pertama dengan kemenangan 2-1, sekali gus membawa bekalan tipis menjelang pertembungan timbal balik yang akan berlangsung di Stadium Thien Truong pada 13 Mei ini.