Aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (JDT) membabitkan Gwangju FC dan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) bakal diadakan di venue yang berbeza.
Sebelum ini, semakan di laman sesawang AFC mendapati stadium untuk aksi ketiga Liga Timur ACLE itu diletakkan pada status belum mendapat pengesahan (TBC).
Meskipun AFC tidak menyatakan mengapa status itu diletakkan, ramai peminat bola sepak Korea percaya ia disebabkan keadaan padang Stadium Bola Sepak Gwangju yang teruk.
Kritikan terhadap padang stadium berkenaan semakin ketara selepas aksi terbaru K-League 1 antara Gwangju dan FC Seoul yang berlangsung pada 6 Oktober lalu.
Tuan rumah meraih kemenangan 3-1 menerusi Heo Yool, Lee Kun-hee dan Jasir Asani. Manakala bekas bintang Manchester United, Jesse Lingard menjaringkan gol saguhati buat FC Seoul.
Jurulatih FC Seoul, Kim Gi-dong meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keadaan padang stadium berkenaan. Ini kerana keadaan padang yang teruk bukan saja menyukarkan anak buahnya bermain dengan baik.
Malah, ada pemain yang bimbang keadaan padang Stadium Bola Sepak Gwangju boleh menyebabkan mereka mengalami kecederaan.
“Stadium berada dalam keadaan yang cukup teruk. Jika tiada rumput dan ia rata, ia mungkin selesa (untuk pemain bermain) tetapi para pemain terlalu risau dan ini memberi kesukaran kepada kaki pemain,” katanya seperti yang dilaportkan Sports Chosun.
Susulan itu, semakan terbaru laman sesawang AFC mendapati venue aksi ACLE antara Gwangju dan JDT sudah diubah. Aksi tersebut bakal diadakan di Stadium Yongin Mireu pada 22 Oktober ini.
Perubahan ini menyaksikan Gwangju perlu beraksi 234 km daripada lokasi stadium asal mereka. Satu lagi kelab K-League 1, Ulsan HD pula lega kerana akan kekal beraksi di Stadium Bola Sepak Ulsan Munsu.
Sebelum ini, timbul kebimbangan Ulsan juga akan beraksi di stadium lain susulan keadaan padang mereka yang teruk. Walau bagaimanapun, Stadium Bola Sepak Ulsan Munsu kekal jadi pilihan untuk aksi antara Ulsan dan Vissel Kobe pada 23 Oktober ini.