Hasrat peminat bola sepak Asia Tenggara melihat Vietnam dan Thailand kembali berentap di atas padang menjadi kenyataan.
ASEAN Football melaporkan aksi persahabatan antarabangsa membabitkan kedua-dua pasukan itu bakal diadakan di Vietnam pada September ini.
Perlawanan persahabatan ini dilihat sebahagian daripada persiapan Thailand dan Vietnam bukan saja untuk kempen ASEAN Championship 2024.
Malah, ini dilihat menguji kemantapan barisan masing-masing sebelum mendepani pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027. Ini kerana skuad Gajah Perang dan Pahlawan Bintang Emas berada dalam Pot 1 undian kelayakan bersama Syria, Tajikistan, Lebanon dan India.
Pendekatan sama turut dipilih dalam kempen Thai King’s Cup 2024 pada Oktober ini. Ini kerana Tajikistan dan Syria berada dalam Pot 1 bersama Thailand. Sementara Filipina pula berada dalam Pot 2.
Pertembungan Thailand-Vietnam dijangka menarik memandangkan kedua-dua pasukan pernah berentap di pentas final ASEAN Championship 2022.
Aksi final dua pusingan itu menyaksikan skuad Gajah Perang muncul juara menerusi jaringan tunggal Theerathon Bunmathan selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam aksi final pertama.
Perlawanan ini turut dilihat medan terbaik buat jurulatih Thailand, Masatada Ishii mengkaji skuad Vietnam yang dibimbing jurulatih baru dari Korea Selatan, Kim Sang-sik.
Sang-sik dijangka memburu kemenangan kedua sebagai pengendali Pahlawan Bintang Emas. Ini selepas beliau merekodkan satu kemenangan dan satu kekalahan bersama Vietnam sejak dilantik sebagai jurulatih pada Mei lalu.