Thailand Bakal Dicabar 3 Pasukan Besar Asia
MakanBola
Changsuek

Thailand bakal berdepan cabaran tiga pasukan hebat Asia untuk saingan King’s Cup 2024.

King’s Cup ialah kejohanan bola sepak antarabangsa yang dianjurkan Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) sejak tahun 1968. Kejohanan ini diadakan setiap tahun kecuali pada tahun 1983, 1985, 2008, 2011, 2014, 2020 dan 2021.

Ad

King’s Cup 2023 menyaksikan pasukan gergasi Asia Barat, Iraq muncul juara dengan Thailand sebagai naib juara. Edisi itu turut menyaksikan penyertaan India dan Lubnan.

Ad

Kini, edisi 2024 bakal menyaksikan penyertaan Tajikistan, Filipina dan Syria. Penyertaan ketiga-tiga pasukan ini disahkan pengurusan FAT menerusi satu kenyataan pada 2 Julai lalu.

Kejohanan ini bakal berlangsung semasa kalendar antarabangsa FIFA iaitu 7 hingga 15 Oktober ini.

Ad

“FAT mengumumkan pengesahan Syria, pasukan ke-93 dunia, Tajikistan, pasukan ke-102 dunia dan Filipina, pasukan ke-147 dunia menyertai King’s Cup edisi ke-50 dalam kalendar antarabangsa FIFA dari 7 hingga 15 Oktober 2024,” kata badan induk tersebut dalam satu kenyataan.

Ad

Buat masa ini, FAT belum memutuskan stadium mana yang akan dipilih sebagai venue utama kejohanan. Tiga wilayah telah membuat bidaan untuk venue kejohanan berkenaan iaitu Chiang Rai, Chiangmai dan Songkhla.

Ad

Tajikistan hadir dengan reputasi sebagai bekas juara edisi 2022. The Crowns muncul juara edisi tersebut dengan menewaskan Malaysia di pentas final.

Selain King’s Cup, pasukan yang dibimbing Gela Shekiladze itu bakal bersaing dengan skuad negara dalam saingan Pestabola Merdeka 2024. Ini selepas The Crowns menerima jemputan beraksi dalam kejohanan itu bersama Filipina dan Lubnan.