Skuad Harimau Malaya yang dibimbing Kim Pan-gon bakal berdepan cabaran tiga pasukan hebat untuk saingan Pestabola Merdeka 2024.
Ini selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan Tajikistan, Filipina dan Lubnan sebagai pasukan yang menerima jemputan beraksi dalam kejohanan itu.
Kehadiran tiga pasukan ini sekaligus merealisasikan perancangan FAM untuk pasukan yang beraksi dalam saingan Pestabola Merdeka. Sebelum ini, FAM berhasrat menjemput pasukan yang berada dalam Pot 1 dan Pot 2 cabutan undi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027.
Tajikistan yang juga juara bertahan berada dalam Pot 1 disebabkan mereka menduduki ranking ke-102 dunia. Sementara Lubnan dan Filipina pula dalam Pot 2 kerana masing-masing menduduki ranking ke-117 dan 147 dunia.
Ini kali pertama Pestabola Merdeka dianjurkan secara berturut-turut selepas 16 tahun selepas kali terakhir melakukannya pada 2006, 2007 dan 2008. Kejohanan ini akan berlangsung dari 2 hingga 10 September ini dalam tempoh kalendar antarabangsa FIFA.
Kehadiran Tajikistan dijangka menjadi tumpuan kerana mereka bukan saja juara bertahan kejohanan. Malah, ini peluang buat Harimau Malaya menebus kehampaan dengan pasukan dari Asia Tengah itu.
The Crowns muncul juara Pestabola Merdeka 2023 selepas menewaskan skuad negara 2-0 di pentas final.
Tarikh majlis undian kejohanan bakal dimaklumkan FAM kemudian. Ini bagi menentukan pasukan mana yang akan berentap pada hari perlawanan kejohanan.