Pertemuan yang dinantikan antara Malaysia vs Vietnam sah bakal dilangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Setelah memulakan kempen dengan langkah kanan apabila menumpaskan Nepal pada Mac lalu, kini skuad kebangsaan akan turun dalam aksi kedua menentang Vietnam pada Jun.
Berita baik buat peminat Harimau Malaya apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan venue bagi aksi menentang Vietnam nanti adalah di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Menerusi pengumuman di laman media sosial FAM, SNBJ akan kembali menjadi gelanggang buat skuad kebangsaan setelah aksi pertama lalu berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Pengumuman ini pastinya menyuntik semangat para peminat yang berada di sekitar Lembah Klang bagi kembali menonton aksi pemain Malaysia di gelanggang keramat yang juga kubu kuat Harimau Malaya.
Walau bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai tarikh dan jualan tiket masih belum diumumkan oleh pihak FAM tatkala masih berbaki sekitar dua bulan sebelum sepak mula aksi.
Kali terakhir, skuad Harimau Malaya beraksi di SNBJ adalah ketika menentang Singapura dalam aksi peringkat kumpulan AFF Mitsubishi Electric Cup lalu yang berakhir tanpa jaringan.