Kecuaian penjaga gawang Kemboja, Dara Vireak ketika aksi menentang Singapura undang tanda tanya dalam kalangan peminat.
Pasukan Kemboja terbang ke Kota Singa untuk menghadapi perlawanan kedua peringkat kumpulan A ASEAN Mitsubishi Electric Cup setelah berjaya mengikat Malaysia pada Ahad.
Pengendali Kemboja, Koji Gyotoku mengekalkan 9 pemain di dalam kesebelasan utama ketika bertemu Malaysia sebelum ini dengan Dara Vireak sekali lagi diberi peranan mengawal gawang pasukan.
Walau bagaimanapun, seawal minit ke-9, pintu gol Kemboja dibolosi hasil kesilapan Dara yang menerima hantaran dari rakan sepasukan namun gagal mengeluarkan bola dengan baik.
Kesilapan Dara tersebut dengan mudah dihukum Faris Ramli apabila pemain Singapura itu menolak bola ke gawang yang kosong untuk meletakkan pasukan tuan rumah mendahului di hadapan.
Tidak cukup dengan itu, kecuaian beliau sekali lagi memberi keceriaan buat The Lions apabila hantaran yang terlalu lemah oleh Dara berjaya dipintas dan disudahkan Shawal Anuar di minit ke-16.
Dua kecuaian oleh Dara ini mengundang para peminat bola sepak Asia Tenggara khususnya yang hairan menonton aksi pemain Svay Rieng yang begitu mudah memberikan gol buat Singapura.
Walaupun Sieng Chanthea berjaya merapatkan kedudukan di babak kedua, namun itu semua tidak menghalang Singapura dari mengutip 3 mata dan buatkan Kemboja pulang kecewa.
Selepas ini, Singapura bakal berdepan Timor Leste pada 14 Disember, begitu juga dengan pasukan Kemboja yang turut bakal bertemu Timor Leste pada 17 Disember hadapan.