Aksi Sabah & JDT Rekod Kehadiran Tertinggi Minggu 5 Liga Super
MakanBola
Sabah FC
Sponsors

Aksi minggu kelima Liga Super musim 2024/25 menyaksikan aksi Sabah FC merekodkan kehadiran tertinggi sebelum diikuti oleh Perak FC.

Aksi terbaru liga membabitkan Sabah dan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) pada 13 Julai lalu menyaksikan Harimau Selatan dipaksa bekerja keras sebelum meraih kemenangan 3-1.

Ad

Meskipun tewas, corak permainan yang dipamerkan anak buah Datuk Ong Kim Swee menghiburkan 11,569 orang yang hadir di Stadium Likas. Angka ini merupakan kehadiran teramai direkodkan di Stadium Likas setakat ini.

Ad

Sebelum ini, rekod kehadiran tertinggi di Stadium Likas ialah 5,141 orang. Angka ini direkodkan dalam aksi Liga Super antara skuad Badak dengan Kuching City FC pada 25 Mei lalu.

Sementara itu, kehadiran 5,582 orang gagal menghalang Perak daripada mengalami kekalahan keempat dalam liga.

Ad

Anak buah Yusri Che Lah terpaksa akur dengan penyudah klinikal yang ditampilkan Penang FC. Neto Oliveira dan Alif Ikmalrizal Anuar mencipta nama sebagai penjaring dalam perlawanan yang berlangsung pada 13 Julai lalu.

Ad

Aksi derby Lembah Klang antara KL City FC dan Selangor FC pada 14 Julai pula menarik kehadiran seramai 4,248 orang. Mereka menjadi saksi The City Boys menewaskan Merah Kuning buat kali pertama dalam tempoh 26 tahun.

Ad

Pemain sayap Bosnia-Herzegovina, Jovan Motika menceriakan kem KL City dengan meledakkan gol kemenangan pada minit ke-63.

Tiga lagi perlawanan menyaksikan angka kehadiran yang kurang memberangsangkan. Aksi Kedah Darul Aman FC (KDA FC)-Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) merekodkan kehadiran seramai 2,540 orang.

Ini disusuli perlawanan Kuching City FC-PDRM FC yang merekodkan kehadiran seramai 2,199 orang. Manakala Stadium Temerloh merekodkan kehadiran kedua terendah dalam musim 2024/25 dengan mencatatkan kehadiran 1,028 orang.

Kehadiran ini dicatatkan dalam aksi Sri Pahang FC dan Negeri Sembilan FC yang juga pembuka tirai perlawanan minggu kelima liga.

Liga Super akan berehat seketika untuk memberi laluan kepada separuh akhir pertama Piala FA 2024 yang berlangsung pada 19 Julai ini.