Aksi tertunda Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal diadakan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 10 November ini.
Pengumuman ini dibuat Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang disiarkan di laman sesawang rasmi badan pengendali liga itu.
Sebelum ini, aksi membabitkan The Bos Gaurus dan Harimau Selatan yang sepatutnya diadakan di Stadium Perak pada Ogos lalu terpaksa ditangguhkan akibat hujan lebat dan padang digenangi air.
Cubaan mengadakan aksi berkenaan di Stadium Perak kemudiannya ditangguhkan buat kali kedua pada Oktober lalu atas sebab sama.
Mengikut perancangan, aksi ini sepatutnya diadakan di Stadium Manjung pada 10 November. Ini disebabkan Stadium Perak kini menjalani proses penaiktarafan termasuk proses penukaran rumput daripada rumput lembu kepada rumput Zeon Zoysia.
Walau bagaimanapun, Perak diminta menamakan venue alternatif oleh MFL untuk aksi pasukan itu dan JDT. Permohonan ini dibuat bukan saja kerana faktor lampu limpah Stadium Manjung dan faktor cuaca.
Malah, ini dibuat bersesuaian dengan status aksi tersebut sebagai aksi berprofil tinggi dan dapat melengkapkan undian Piala Malaysia 2024/25.
Susulan itu, MFL meluluskan permohonan Perak untuk beraksi di SSI. Ini bukan kali pertama SSI menjadi gelanggang tuan rumah pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Sebelum ini, Malaysian University FT (MUFT) menjadikan stadium itu sebagai gelanggang tuan rumah menentang JDT dalam saingan Piala FA 2024.
Sementara Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) turut melakukan perkara sama untuk aksi liga menentang Harimau Selatan pada 22 September. Ini disebabkan kerja-kerja penaiktarafan di Stadium Sultan Muhammad IV masih belum selesai.
The Bos Gaurus berharap dapat menamatkan kemarau kemenangan pasukan itu dalam liga sejak 28 September lalu. Manakala JDT pula berharap dapat kembali melebarkan kelebihan 11 mata dengan pencabar terdekat, Selangor FC.