Advertisement
Kelantan DN Mohon Guna Stadium Sultan Ibrahim
Liga Super
MakanBola
Johor Southern Tigers

Kelantan Darul Naim FC (Kelantan DN FC) telah membuat permohonan untuk menggunakan Stadium Sultan Ibrahim sebagai venue sementara.

Menerusi satu kenyataan, Kelantan DN telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Malaysian Football League (MFL) untuk menggunakan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sebagai venue tuan rumah bagi perlawanan Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 22 September 2024.

Perkara ini disahkan oleh Presiden Kelantan DN, Rozi Muhamad bahawa pihaknya telah mendapat persetujuan bersama dengan JDT berhubung perubahan venue.

Hal ini susulan Stadium Sultan Muhammad IV masih dalam proses naik taraf sehingga pertengahan Oktober depan.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya telah mengambil pertimbangan setiap aspek termasuklah mengambil kira jadual perlawanan yang telah dikeluarkan oleh MFL untuk memilih SSI sebagai gelanggang tuan rumah KDN FC.

“Stadium Sultan Muhammad IV terpaksa ditutup buat sementara waktu bagi proses naik taraf. Oleh yang demikian, kami memohon agar venue perlawanan Liga Super dengan JDT diubah ke SSI.

“Bagi pihak KDN FC, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor kerana memberikan kebenaran dan hak kepada kami untuk menjadi tuan rumah di SSI.

Pihak Kelantan DN bagaimanapun sedang menunggu pengesahan daripada pihak MFL berhubung perkara ini.

“Pihak kami masih menunggu kebenaran daripada MFL berkenaan perubahan venue ini. Pemilihan venue SSI ini juga dibuat memandangkan perlawanan seterusnya KDN FC adalah menentang Negeri Sembilan FC di Paroi pada 27 September 2024.

“Oleh kerana lokasi kedua-dua venue berada berdekatan maka KDN FC bersetuju mengalihkan perlawanan ke SSI kerana dapat menjimatkan kos pengurusan.

“Kami sedar bahawa permohonan ini adalah di luar kebiasaan namun kami berharap MFL dapat mempertimbangkannya dengan mengambil kira masalah penutupan venue KDN FC,” katanya.

Kelantan DN akan bertemu JDT pada 22 September 2024 sebelum menentang Negeri Sembilan 5 hari berikutnya.