Pengendali Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Park Jae-hong percaya pasukannya bakal memberi saingan berbeza dengan kehadiran lima pemain baru.
Selepas tetingkap perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) dibuka pada 26 Ogos lalu, Kelantan DN menjadi antara pasukan yang sibuk mendapatkan pemain baru.
Lima pemain sah menyertai pasukan Pantai Timur itu. Mereka ialah Layth Kharoub, Fikri Che Soh, Hakimi Abdullah, Muhaimin Izzudin dan Aung Kaung Mann.
Layth, Kaung Mann dan Fikri tiba di Kota Bharu sebagai ejen bebas. Manakala Hakimi dan Muhaimin pula masing-masing tiba secara pinjaman dari Terengganu FC dan Penang FC.
Kecuali Fikri, keempat-empat pemain lain merupakan pemain sayap atau penyerang. Jae-hong percaya kehadiran kuartet baru ini bakal menambah sengat serangan Sang Kijang Emas.
“Kecuali Fikri, empat pemain lain berkeupayaan bermain di posisi serangan. Ini satu tambahan yang bagus serta boleh memberikan kami lebih pilihan bagi memburu jaringan.
“Sekarang kami perlu melihat kehadapan kerana kami mahu memperbaiki pasukan. Selepas itu, kami berniat untuk masuk semula ke dalam persaingan dan merebut mata pada setiap perlawanan. Kami kena cari mata untuk keluar dari tangga terakhir,” katanya dalam satu kenyataan.
Jae-hong turut melihat kehadiran Layth, Kaung Mann, Hakimi dan Muhaimin memberinya lebih banyak pilihan di bahagian serangan. Ini bakal membantunya merencana pelan taktikal berbeza terutama semasa perlawanan.
“Kehadiran lima pemain baharu akan menyebabkan KDN FC menjadi lebih baik terutamanya jentera serangan yang tumpul sebelum ini.
“Saya mempunyai banyak pilihan pemain dan kami juga boleh membuat penggiliran berdasarkan taktikal perlawanan,” tambahnya.
Kelantan DN bakal berdepan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) untuk aksi liga mereka yang seterusnya pada 22 September ini.