Aksi kelayakan Piala Asia 2027 antara Vietnam dan Malaysia pada Mac ini bakal diadakan di Stadium Thien Truong.
Portal Lao Dong melaporkan stadium juara V. League 1, Thep Xanh Nam Dinh itu menjadi pilihan kerana kesesuaian dari segi kemudahan dan bilangan penyokong yang hadir.
Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) turut mengambil kira situasi membabitkan stadium keramat mereka, Stadium Nasional My Dinh.
Kerja-kerja penambahbaikan termasuk penukaran rumput padang kepada Zeon Zoysia dilaksanakan di stadium tersebut.
Sekiranya semua kerja berjalan lancar, Stadium Nasional My Dinh bakal dibuka semula untuk aksi antarabangsa pada 2026.
Walau bagaimanapun, penganjuran konsert pada pertengahan Mac di stadium itu dijangka mengganggu persiapan Vietnam untuk perlawanan ini.
Selain Thien Truong, VFF juga mempertimbang Stadium Lach Tray, Stadium Viet Tri dan Stadium Binh Duong sebagai venue alternatif untuk aksi Vietnam menentang Malaysia.
Selain aksi menentang Harimau Malaya, Pahlawan Bintang Emas juga akan mengadakan satu aksi persahabatan di Stadium Thien Truong.
Ini sebagai persiapan sebelum aksi yang dijadualkan pada 31 Mac itu. Lawan Vietnam untuk aksi persahabatan itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
Satu nama yang dijangka gembira beraksi di stadium itu ialah penyerang berbisa Vietnam, Nguyen Xuan Son. Ini kerana beliau sudah biasa beraksi di Stadium Thien Truong bersama Nam Dinh.
Aksi ini cukup penting buat Vietnam dan Malaysia kerana ini menentukan siapa yang akan layak ke Piala Asia 2027 sebagai juara Kumpulan F.