Khidmat bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal berkemungkinan tidak dapat digunakan sepenuhnya disebabkan oleh akta yang digunapakai di negara Jerman
Lamine Yamal merupakan tonggak utama skuad La Roja dan telah diturunkan sebagai kesebelasan utama dalam dua aksi pertama di Euro 2024 menentang Croatia dan Itali minggu lalu.
Meskipun baru berusia 16 tahun, namun aksi lincah pemain Barcelona ini telah menarik perhatian peminat bola sepak seantero dunia ditambah pula dengan satu bantuan jaringan yang dilakukannya kepada Dani Carvajal ketika berdepan Croatia.
Walau bagaimanapun, khabar kurang senang mula didengari buat para peminat Sepanyol apabila khidmat Yamal berkemungkinan tidak dapat digunakan sepenuhnya dalam perlawanan terakhir menentang Albania pada awal pagi Selasa ini.
Hal in kerana undang-undang di Jerman telah melarang remaja berusia di bawah umur 18 tahun untuk bekerja melebihi jam lapan malam, manakala atlet sukan hanya diberikan kelonggaran sehingga jam 11 malam sahaja.
Disebabkan aksi Sepanyol-Albania bakal bermula jam 9 malam waktu Jerman, maka sekiranya Luis de la Fuente menurunkan Yamal dalam 90 minit permainan, agak sukar untuk pemain itu mematuhi akta yang telah ditetapkan ini dan hukuman bakal menanti juara Euro 2012 itu.
“Peraturan Jerman melarang remaja bawah 18 tahun daripada bekerja melebihi 8.00 malam, tetapi atlet boleh bermain sehingga 11.00 malam, termasuk masa untuk mandi dan sidang media,” menurut laporan CentreGoals.
“Jika (Lamine) Yamal bermain perlawanan penuh menentang Albania, sukar untuk mematuhi undang-undang dan Sepanyol boleh didenda.”
Sepanyol kini menduduki tangga teratas kumpulan B dengan enam mata, tiga mata meninggalkan Itali di tempat kedua manakala Croatia dan Albani menghuni tangga ketiga dan keempat dengan kutipan satu mata.
Meskipun sudah menempah tiket ke pusingan kalah mati, La Roja akan tetap turun dalam aksi terakhir peringkat kumpulan B menentang Albania pada awal pagi Selasa sementara Itali akan berdepan cabaran Croatia pada waktu yang sama.