Euro 2024: Sepanyol Bermaharajalela Tundukkan Croatia
Eropah
MakanBola
SEFutbol
Advertisements

Tiga gol di separuh masa pertama berjaya memastikan Sepanyol membuka kempen Euro 2024 dengan penuh bergaya ke atas Croatia pada awal pagi Ahad.

La Roja yang merupakan juara edisi 1964, 2008 dan 2012 berada di dalam kumpulan B bersama-sama Croatia, Albania dan juga juara bertahan, Itali yang memenangi aksi final di Stadium Wembley.

Advertisements

Jurulatih Sepanyol, Luis De La Fuente melakukan kejutan dengan menyenaraikan pemain berusia 16 tahun, Lamine Yamal di dalam kesebelasan utama sementara tonggak berpengalaman, Luka Modric mengetuai cabaran Croatia.

Aksi berbalas serangan dilancarkan sejak wisel permulaan dibunyikan namun jaringan yang dicari hanya tiba setelah setengah jam beraksi apabila Alvaro Morata menyudahkan hantaran lolos daripada Fabian Ruiz pada minit ke-29.

Tiga minit kemudian, giliran Fabian Ruiz pula mencetak nama sebagai penjaring apabila mudah menggelecek tiga pemain Croatia sebelum melepaskan rembatan kaki kiri yang menewaskan Dominik Livakovic buat kali kedua.

Advertisements

Croatia yang tersentak cuba bangkit akan tetapi La Roja terus selesa dengan gol ketiga setelah Dani Carvajal menyambar hantaran lintang Lamine Yamal untuk separuh masa pertama tamat dengan 3-0 milik Sepanyol.

Kembali dari rehat, Croatia yang merupakan naib juara Poala Dunia 2018 pamer aksi lebih meyakinkan dengan beberapa gerakan dan hantaran menarik yang berupaya mengancam kubu gol Sepanyol.

Kedua-dua pasukan membawa masuk tenaga baharu dari bangku simpanan untuk menajamkan jentera serangan dengan Croatia memasukkan pemain sayap, Ivan Perisic manakala Sepanyol menagih kudrat perancang tengah, Dani Olmo.

Advertisements

Peluang terbaik buat Croatia memecah kebuntuan hadir pada minit ke-80 apabila pengadil memberikan sepakan penalti namun Bruno Petkovic gagal menyempurnakannya sebelum percubaan susulannya dibatalkan kerana ofsaid.

Aksi di Olympiastadion, Berlin tamat dengan keputusan Sepanyol 3-0 Croatia.

Advertisements

Selepas ini, Croatia akan turun berdepan Albania di Volksparkstadion pada Rabu sementara Sepanyol bakal membuat perhitungan bersama Itali seakan ulangan aksi final Euro 2012 pada awal pagi Jumaat di Veltins-Arena.

News Comments Account