Jenama barangan sukan terkemuka, Adidas, kini berdepan gelombang desakan boikot global berikutan tindakan mereka memaparkan bekas tentera Israel, Shaliv Biton dalam kempen promosi terbaru mereka. Kempen tersebut melancarkan perkhidmatan Single Shoe, yang membolehkan pelanggan membeli sebelah kasut sahaja pada harga separuh.
Tindakan itu mencetuskan kemarahan ramai kerana Biton pernah terlibat dalam siri serangan ketenteraan Israel ke atas Gaza yang telah mengorbankan puluhan ribu nyawa rakyat Palestin.
Melalui inisiatif Single Shoe, individu yang hanya memerlukan sebelah kasut, seperti golongan orang kurang upaya (OKU) atau yang mengalami amputasi kini boleh membelinya pada kadar separuh harga berbanding harga sepasang kasut penuh.
Rekod menunjukkan Biton kehilangan sebelah kakinya semasa serangan rejim Israel di Gaza pada tahun 2021. Serangan tersebut menyaksikan lebih 200 warga Palestin terkorban serta ratusan kediaman dan bangunan ranap.
Kempen iklan ini telah mula ditayangkan di cawangan stor Adidas secara global, termasuk premis mereka di Israel. Rakaman yang tular di media sosial turut menampilkan papan iklan promosi dalam bahasa Inggeris dan Hebrew di kedai cawangan berkenaan.
Di platform Instagram, Biton berkongsi kenyataan berhubung kolaborasinya bersama Adidas:
“Mungkin ia kelihatan seperti perkara kecil, tetapi bagi saya ia lebih daripada sekadar sepasang kasut. Ini adalah hasrat agar dunia yang kita huni ini sesekali dapat menyesuaikan diri dengan kita, bukannya kita yang sentiasa perlu menyesuaikan diri dengannya.”
Walau bagaimanapun, carian di profil media sosial Biton mendapati beliau sebelum ini kerap memuat naik gambar serta video berhibur bersama tentera Israel lain di Gaza, selain foto beliau memegang senjata api.
Organisasi pro-Palestin dan para aktivis menyuarakan bantahan keras terhadap pemilihan Biton. Mereka menegaskan bahawa seseorang yang terlibat dalam pengeboman Gaza tidak sepatutnya diangkat sebagai wajah kempen inklusiviti.
Menurut Leyla Hamed, seorang wartawan sukan, Adidas sepatutnya lebih sensitif dalam memilih wakil kempen mereka. Beliau menegaskan bahawa Gaza mencatatkan kadar kanak-kanak mengalami amputasi tertinggi di dunia, di mana lebih 5,000 kes pemotongan anggota badan dianggarkan berlaku sejak Oktober 2023 berpunca daripada serangan tentera Israel.
Sementara itu, komentator politik dan aktivis dari Amerika Syarikat, Guy Christensen, turut menyifatkan tindakan itu amat mengecewakan memandangkan ramai kanak-kanak di Gaza kehilangan keupayaan untuk berjalan, sekali gus menyeru orang ramai untuk memboikot Adidas.
Pengkritik lain di media sosial turut mengecam jenama pakaian sukan berkenaan kerana mengabaikan ribuan kanak-kanak Palestin yang terputus kaki akibat bom, sebaliknya memberikan ruang promosi kepada pihak yang terlibat dalam pencerobohan Gaza.
Isu ini timbul tatkala krisis kesihatan di Gaza berada pada tahap paling kritikal. Laporan Humanity & Inclusion menyatakan bahawa kira-kira 70 peratus hingga 80 peratus pesakit yang dimasukkan ke 12 hospital yang masih beroperasi dengan serba kekurangan di Gaza mengalami kecederaan teruk pada anggota badan atau tulang belakang.
Statistik UNICEF pada Januari 2024 menganggarkan sekitar 1,000 kanak-kanak telah kehilangan satu atau kedua-dua kaki mereka, dengan purata 10 kanak-kanak kehilangan anggota badan setiap hari akibat pengeboman.
Ekoran sekatan berterusan oleh rejim Israel, petugas kesihatan di Gaza kini terpaksa menghasilkan kaki palsu buatan sendiri (homemade prosthetics) sebagai alat bantuan sementara buat mangsa perang sebelum menerima rawatan perubatan yang sempurna.
Baru-baru ini Selangor FC baru sahaja melancarkan jersi baharu mereka dengan jenama Adidas. Kontroversi terbaru yang melanda Adidas ini mungkin akan memberi impak kepada penjualan jersi Selangor jika situasi ini berlanjutan. Selain Selangor, kelab-kelab besar dunia termasuk Manchester United, Liverpool dan Arsenal juga berpotensi berdepan situasi sama.
Situasi ini juga berpotensi mendorong para ahli sukan yang memiliki kontrak penajaan bersama Adidas untuk mempertimbangkan semula perjanjian mereka. Sesetengah daripadanya cukup lantang menyokong rakyat Palestin seperti Lamine Yamal, Paul Pogba dan Mohamed Salah.