Bekas pemain bola sepak Malaysia, Asmawi Bakiri memiliki sebab tersendiri memilih skuad Harimau Malaya bermain di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada Kelayakan Piala Asia.
Pasukan Harimau Malaya dijadualkan membuka tirai saingan Kelayakan Piala Asia 2027 pada 25 Mac ini dengan bertemu negara di ranking ke-175, Nepal bagi aksi pertama peringkat kumpulan.
Mengikut jadual asal, skuad negara di bawah kendalian Peter Cklamovski ini akan terbang ke Kathmandu untuk bermain di gelanggang lawan terlebih dahulu bagi aksi pembuka tirai ini.
Sebelum ini, laporan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam mengatakan Malaysia bakal beraksi di laman sendiri pada aksi pembuka tirai oleh kerana stadium Nepal masih belum bersedia.
Ini telah menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat tentang venue yang akan dipilih oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan 2 pilihan popular, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dan Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Oleh itu, menurut Asmawi yang juga bekas pemain negara melihat beraksi di gelanggang sendiri pada aksi pertama ini bagai satu peluang besar buat Malaysia mengutip 3 mata.
”Jadi, saya rasa itu peluang yang besar dan perlu diambil kira dari segi perkiraan mata menang serta jaringan kerana pada saya itu kelebihan dah ada pasukan tuan rumah,” ujar Asmawi kepada Astro Arena.
Tambah Asmawi, beliau secara peribadi mahu skuad Harimau Malaya turun bermain di laman Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Stadium Sultan Ibrahim setelah melihat usaha revolusi oleh DYAM Tunku Ismail.
”Saya lebih tertarik memilih SSI sebenarnya kerana kita sedia maklum bahawa antara pengurusan baharu pasukan negara datangnya dari idea DYAM Tunku Ismail.”
”Jadi untuk memberi gambaran lagi mengenai persediaan ini serius dan penting, sesuai bermain di padang SSI,” tambah Asmawi lagi.
Sehingga kini, masih belum ada sebarang kenyataan rasmi dari pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai venue perlawanan yang akan digunakan bagi aksi Malaysia vs Nepal ini.