Ads
Ali Jasim Jadi Dalang Kekalahan Indonesia Kepada Iraq
Asia
Iraq FA

Iraq terus memperkukuh kedudukan dalam Kumpulan F Kelayakan Piala Dunia 2026 apabila menewaskan Indonesia 2-0 di Stadium Gelora Bung Karno.

Advertisements

Selepas mengesahkan kemaraan ke pusingan ketiga kelayakan, Iraq turun tanpa tekanan. Sementara Indonesia pula perlu menang agar dapat mengiringi Singa Mesopotamia ke pusingan seterusnya.

Advertisements

Pengendali Iraq, Jesus Casas menurunkan barisan terkuat termasuk bekas bintang muda Manchester United, Zidane Iqbal. Manakala Shin Tae-yong pula terus memberi kepercayaan kepada Jordi Amat untuk mengetuai cabaran Tim Garuda.

Advertisements
Advertisements

Babak pertama menyaksikan tuan rumah berusaha memburu gol awal menerusi trio Marselino Ferdinan, Rafael Struick dan Ragnar Oratmangoen.

Keadaan ini memaksa barisan pertahanan Iraq diketuai bek tengah FC Seoul, Rebin Sulaka bekerja keras mengekang asakan mereka.

Advertisements

Singa Mesopotamia menyangka sudah mendahului pada minit ke-16 menerusi pemain sayap Air Force Club, Ibrahim Bayesh. Keceriaan anak buah Casas tidak bertahan lama apabila gol tersebut dibatalkan kerana kesalahan ofsaid.

Indonesia juga berpeluang mendapatkan gol menerusi pemain pertahanan KV Mechelen, Sandy Walsh pada minit ke-35. Malangnya, rembatan leret pemain berusia 29 tahun itu berjaya dinafikan kapten dan penjaga gol Iraq, Jalal Hassan.

Kedua-dua pasukan terus bersaing sengit mendapatkan gol tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Casas membuat pertukaran dengan memasukkan bintang muda Air Force Club, Ali Jasim.

Gol yang dicari Iraq akhirnya muncul pada minit ke-54. Ini selepas pengadil, Shaun Evans mengesan tangan Justin Hubner terkena bola dalam kotak penalti.

Penalti tersebut mudah disempurnakan penyerang Air Force Club, Aymen Hussein menewaskan penjaga gol Tim Garuda, Ernando Ari.

Lima minit kemudian, Indonesia terus bernasib malang apabila bek tengah Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Amat dibuang padang oleh Evans.

Ini selepas bek tengah berusia 32 tahun itu dikesan melakukan terjahan keras ke atas pemain muda Iraq, Ali Jasim. Keadaan ini memaksa Tae-yong memasukkan Pratama Arhan, Ivar Jenner, dan Asnawi Mangkualam pada minit ke-65.

Indonesia menyangka mereka semakin ketinggalan apabila Singa Mesopotamia dianugerahkan sepakan penalti lagi pada minit ke-72. Tuan rumah bernasib baik apabila penalti yang diambil Aymen melambung tinggi.

Oratmangoen hampir menyamakan kedudukan buat Tim Garuda pada minit ke-78 tetapi usahanya berjaya dihalang Jalal.

Tuan rumah berusaha mendapatkan gol penyamaan tetapi gagal. Sebaliknya, Ali memastikan Iraq menang dengan keputusan 2-0 menerusi gol pada minit ke-88.

Keputusan ini menyaksikan Singa Mesopotamia terus unggul sebagai pendahulu Kumpulan F dengan 15 mata. Sementara Indonesia kekal di tangga kedua dengan tujuh mata.

Sofascore memilih Ali sebagai pemain terbaik perlawanan hari ini. Beliau mendapat markah 8.7, jauh mengatasi Ahmed Yahya dan Youssef Amyn.

Advertisements

Tim Garuda bakal berdepan Filipina untuk aksi terakhir Kumpulan F pada 11 Jun. Manakala Iraq pula akan menentang Vietnam di Basra pada hari sama (awal pagi 12 Jun waktu Malaysia).

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram