Pemain tengah Selangor FC, Aliff Haiqal Lau berpendapat tiga mata berharga yang diraih ketika bertemu Kedah Darul Aman FC (KDA FC) semalam adalah khas buat Faisal Halim yang sebelum ini menjadi mangsa simbahan asid.
Aliff bersyukur dengan jaringan tunggal yang dihasilkan beliau dapat membantu pasukan untuk mencipta kemenangan pertama dalam saingan Liga Super 2024/2025.
“Syukur alhamdulillah (dengan jaringan yang dihasilkan). Tapi saya nak kreditkan juga kepada rakan sepasukan saya yang bersusah payah dari minit pertama sehingga ke minit ke-90. Tiga mata ini juga untuk Faisal Halim.
“Bagi saya, gol itu memang saya tidak sangka. Boleh dikatakan rezeki saya malam ini,” jelas Aliff Haiqal dalam satu sesi temubual selepas perlawanan yang disiarkan di Astro Arena.
Melihat Kedah sebagai pasukan yang hebat, Aliff berpendapat kemenangan yang diraih oleh Selangor ini adalah rezeki dan mengucapkan selamat maju jaya buat pasukan Kedah untuk aksi seterunsya.
Pada aksi semalam, Aliff Haiqal yang masuk sebagai pemain gantian menjaringkan gol pada minit ke-85 dan sekali gus memberikan tiga mata pertama buat Selangor musim ini.
Selangor akan meneruskan saingan Liga Super dengan aksi bertemu Negeri Sembilan FC pada 26 Mei di gelanggang lawan sebelum bertemu lawan yang sama bagi pusingan 16 terakhir Piala FA di gelanggang sendiri pada 14 Jun.