Hasrat Selangor FC untuk mendapatkan tiga mata pertama dalam saingan Liga Super 2024/2025 menjadi kenyataan apabila menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium MBPJ sebentar tadi.
Kedua-dua pasukan menurunkan barisan terkuat dengan Kedah menggandingkan Syafiq Ahmad dan Milos Gordic di bahagian hadapan manakala Selangor pula meletakkan Ronnie Fernandez untuk mencari jaringan.
Perlawanan dimulakan dengan penguasaan dipamerkan oleh pasukan tuan rumah dengan saling bertukar-tukar hantaran pendek.
Selangor hampir sahaja berada di hadapan pada minit ke-11 melalui Ronnie Fernandez hasil hantaran satu dua bersama Yohandry Orozco namun penyudah Ronnie agak lemah dan ditangkap oleh Kalamullah di gawang Kedah.
Peluang terbaik buat Kedah hadir pada minit ke-18 melalui percubaan jarak jauh Sukhrob Nurollaev tetapi sedikit tersasar.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dengan pergerakan serangan lebih tertumpu di bahagian sayap.
Tiada tambahan jaringan yang dapat dicipta sekali gus menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan terikat tanpa jaringan.
Bersambung babak kedua, Selangor tampil lebih garang dengan beberapa serangan awal dicipta untuk mendapatkan jaringan.
Yohandry Orozco hampir sahaja memberikan pendahuluan buat Selangor pada minit ke-65 namun rembatan derasnya dari luar kotak penalti berjaya ditangkap kemas Kalamullah.
Sony Norde turut berpeluang meledak pada minit ke-75 namun rembatannya berjaya dihalang oleh Sharul Nazeem.
Selepas serangan demi serangan dilancarkan, Selangor akhirnya berjaya di hadapan pada minit ke-85 melalui jaringan pemain gantian Aliff Haiqal hasil rembatan dari luar kotak penalti. Selangor di hadapan 1-0.
Selangor tidak berhenti menyerang dengan beberapa gerak serangan dilancarkan terutamanya daripada pemain gantian, Reziq Bani Hani.
Tiada tambahan jaringan dapat dihasilkan sekali gus menamatkan perlawanan dengan kemenangan 1-0 buat Selangor.
Untuk aksi seterusnya, Selangor bakal melayan kunjungan Negeri Sembilan pada 26 Mei manakala Kedah pula akan bertemu Perak FC pada 24 Mei di Stadium Darul Aman, Alor Setar.