Pengurus baru Manchester United, Ruben Amorim mengingatkan lima tonggak muda kelab berkenaan itu tampil konsisten untuk musim 2024/25.
Lima pemain yang dimaksudkan ialah Alejandro Garnacho, Amad Diallo, Kobbie Mainoo, Rasmus Hojlund dan Leny Yoro.
Garnacho dan Mainoo merupakan antara pemain yang menyerlah semasa era pengurus sebelumnya, Erik ten Hag. Manakala Diallo pula menunjukkan kualitinya terutama bila diberi peluang oleh jurulatih interim, Ruud van Nistelrooy.
Manakala Yoro pula sudah menunjukkan potensinya selepas tiba dari Lille dengan yuran perpindahan €62 juta (RM292 juta). Pemain pertahanan berusia 18 tahun itu kini fokus menjalani pemulihan selepas mengalami kecederaan pada pra-musim.
Amorim melihat faktor usia bukan halangan buat mereka untuk menyerlah dalam musim 2024/25. Ini kerana beliau tahu mereka sudah bersedia menghadapi tekanan beraksi untuk The Red Devils.
“Saya tidak mahu mengatakan bahawa kami memerlukan masa kerana kami merupakan pasukan muda. Mereka sudah bersedia. Mereka bersedia untuk menghadapi tekanan bermain untuk Manchester United. Mereka sepatutnya (bersedia) kerana mereka berada di sini.
“Kami tahu ia akan mengambil masa dan kami akan cuba untuk memenangi masa dengan (memenangi) permainan. Tetapi kita harus bermula sejak hari pertama tanpa rasa takut, tanpa berfikir bahawa mereka tidak biasa bermain seperti ini.
“Ini bukan dalam fikiran saya. Mereka akan bermula pada hari pertama dengan idea kami, tidak kira apa. Itulah matlamatnya,” katanya kepada MUTV.
Amorim bukan asing dengan cabaran membimbing pemain muda dalam pasukannya. Ini kerana beliau turut menghadapi perkara sama semasa melatih kelab lamanya, Sporting Lisbon.
Sporting meraih beberapa kejuaraan termasuk dua kejuaraan liga semasa dibimbing jurulatih berusia 39 tahun itu. Antara pemain muda yang menyerlah ialah Goncalo Inacio, Franco Israel dan Ousmane Diomande.
Amorim bakal dibantu lima staf kejurulatihan yang tiba dari Sporting. Ini termasuk bekas penolong jurulatih KL City FC, Emanuel Ferro.