Siapa sangka salah seorang staf kejurulatihan baru Manchester United memiliki kaitan dengan kelab Liga Super, KL City FC.
Staf kejurulatihan yang dimaksudkan ialah Emanuel Ferro. Jurulatih berusia 45 tahun itu pernah bersama The City Boys dari 2013 hingga 2014 sebagai pembantu jurulatih Ricardo Formosinho.
Gandingan dua jurulatih dari Portugal itu membantu KL City kekal dalam saingan Liga Perdana musim 2015. Kejayaan itu turut dibantu dengan 10 gol yang dijaringkan tonggak import dari Montenegro, Milan Purovic.
Fakta menarik ini dikongsikan seorang pengguna X bernama Nizam Archibald. “KL dan MU (Manchester United) bersaudara,” katanya di X.
Tidak lama selepas itu, akaun X Supporters of Kuala Lumpur United turut memuat naik fakta sama. Bezanya ialah akaun tersebut menaikkan gambar sesi latihan skuad KL City yang diselia Formosinho dan Ferro.
Selain KL City, Ferro juga pernah menjadi penolong jurulatih untuk kelab Tunisia, Esperance Tunis. Selepas puas berkelana di luar negara, bekas jurulatih akademi Benfica itu menyertai Sporting dan melatih pasukan peringkat umur.
Pada awalnya, Ferro menjadi penolong jurulatih kepada pengurus sebelumnya, Silas. Selepas Ruben Amorim tiba dari Braga pada awal tahun 2020, beliau terus kekal menjadi penolong jurulatih sebelum mengikutnya ke Old Trafford.
Ferro menyertai penolong pengurus Carlos Fernandes, penolong jurulatih Adelio Candido, jurulatih penjaga gol Jorge Vital dan saintis sukan Paulo Barreira.
Menariknya, jurulatih Portugal itu mengikut jejak bos lamanya, Formosinho ke United. Formosinho kekal di Old Trafford dari 2016 hingga 2018 sebagai penolong Jose Mourinho.
Selepas kembali berkelana di beberapa buah negara, dua figura itu kembali bekerjasama di kelab gergasi Turkiye, Fenerbahce.