Advertisements
Ruben Amorim Bawa Rekod 71% Kemenangan Ke Man Utd
EPL
MakanBola
Sporting CP

Pengurus baru Man Utd, Ruben Amorim membawa rekod yang memukau penyokong dari kelab lamanya, Sporting Lisbon.

Sejak menyertai Sporting pada Mac 2020, Sky Sports melaporkan jurulatih berusia 39 tahun itu merekodkan 162 kemenangan daripada 228 perlawanan atau 71% dalam semua kejohanan termasuk Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

Rekod ini cukup mengagumkan ditambah dengan lima trofi yang diraihnya bersama Sporting. Selain muncul juara Primeira Liga sebanyak dua kali, Amorim turut meraih kejuaraan Taca da Liga dan Supertaca Cândido de Oliveira.

Ini terhasil menerusi corak permainan yang diterapkan bekas jurulatih Braga itu. Selain mengenakan tekanan yang tinggi kepada pihak lawan, pasukan itu turut berubah-ubah dari segi pergerakan di atas padang.

Taktik ini bukan saja mengelirukan mana-mana lawan yang dihadapi Sporting. Malah, ini membuka ruang buat barisan penyerang Sporting untuk melancarkan serangan dan menjaringkan gol.

Ini terbukti menerusi penyerang berbisa kelab itu dari Sweden, Viktor Gyokeres. Sejak menyertai Sporting dari Coventry City dengan yuran perpindahan €24 juta (RM113 juta) pada musim 2023/24, penyerang itu telah menjaringkan 59 gol daripada 65 penampilan.

Resepi ini diharap dapat mengubah jentera serangan United yang bergelut dari segi jaringan semasa era Erik ten Hag. Musim 2023/24 menyaksikan The Red Devils hanya menjaringkan 57 gol dalam liga.

Amorim bakal melapor diri sebagai jurulatih United selepas aksi Primeira Liga menentang Braga pada awal pagi 10 November. Justeru, tugas jurulatih interim terus digalas oleh legenda United, Ruud van Nistelrooy.

Selepas membelasah Leicester City 5-2 dalam aksi Carabao Cup, United akan berdepan Chelsea untuk aksi liga pada awal pagi 4 November.