Bekas pengurus Sporting Lisbon, Ruben Amorim sah dilantik sebagai pengurus Manchester United yang baharu.
Perlantikan jurulath Portugal berusia 39 tahun itu diumumkan pengurusan The Red Devils menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi pasukan. Ini sekaligus menamatkan desas-desus siapa calon pengganti jurulatih sebelumnya, Erik ten Hag.
“Manchester United gembira untuk mengumumkan perlantikan Ruben Amorim sebagai ketua jurulatih skuad utama lelaki, tertakluk kepada keperluan visa kerja.
“Beliau akan menyertai kelab sehingga Jun 2027 dengan pilihan lanjutan setahun lagi apabila beliau memenuhi kewajipannya dengan kelab lamanya (Sporting Lisbon). Beliau akan menyertai Manchester United pada 11 November,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Amorim menjadi jurulatih tetap United yang keenam dibawa masuk dalam tempoh 11 tahun. Sebelum ini, The Red Devils membawa masuk David Moyes, Louis van Gaal, Jose Mourinho, Ole Gunnar Solskjaer dan ten Hag.
Menariknya, bekas jurulatih Braga itu mengikut jejak mentor dan idolanya, Mourinho ke Old Trafford. Malah, pengurus Fenerbahce itu turut dilaporkan memberi galakan kepada Amorim untuk berkelana ke England meskipun dipecat pada Disember 2018.
Amorim memeterai kontrak selama dua tahun setengah bersama United. Beliau juga bakal membawa beberapa staf kejurulatihan Sporting ke Old Trafford untuk menyokong usahanya.
Antara staf Sporting yang dijangka mengikutinya ke Old Trafford ialah Carlos Fernandes, Adelio Candidio dan jurulatih penjaga gol, Jorge Vital.
United dilaporkan berbelanja sebanyak sebanyak €11 juta (RM52 juta) untuk membayar klausa pelepasan kontrak Amorim kepada Sporting. Sementara kos pampasan untuk staf-staf beliau pula mencecah €4 juta (RM19 juta).
Amorim dijangka memulakan tugasnya sebagai pengurus The Red Devils selepas kalendar antarabangsa bulan November. Ini kerana beliau perlu menghormati notis yang ditetapkan Sporting sebagai syarat menyertai United.
Ini bermakna beliau memiliki tiga perlawanan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong kelab gergasi Portugal itu. Tiga aksi tersebut ialah Estrela Amadora (Primeira Liga), Manchester City (Liga Juara-Juara UEFA (UCL) dan Braga (Primeira Liga).
Sementara menunggu kehadiran Amorim, legenda United, Ruud van Nistelrooy akan terus menggalas tugas sebagai jurulatih interim.
Selepas meraih kemenangan 5-2 ke atasi Leicester City dalam saingan Carabao Cup, beliau akan memberi fokus untuk dua aksi liga menentang Chelsea (awal pagi 4 November) dan Leicester (10 November).
Selain itu, sentuhan van Nistelrooy diharap dapat membuahkan kemenangan pertama buat United dalam Liga Europa UEFA (UEL) menentang PAOK pada awal pagi 8 November.