Penjaga gawang Buriram United, Chatchai Budprom berazam untuk berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di perlawanan akhir Shopee Cup nanti.
Kedua-dua jaguh Asia Tenggara ini mengesahkan penyertaan dalam saingan Shopee Cup musim ini dengan Buriram United bakal turun membawa status juara bertahan di kejohanan ini.
Sementara JDT yang menjulang 4 trofi Liga Malaysia musim lalu bakal melakukan penampilan pertama di Shopee Cup ini bersama sebuah lagi kelab yang mewakili negara, Selangor FC.
Fokus pastinya tertumpu kepada persaingan antara JDT dan Buriram yang dilihat sebagai dua kelab gergasi di ASEAN ini berdasarkan kejayaan dan dominasi di saingan liga domestik.
Walau bagaimanapun, kedua-dua pasukan gergasi ini tidak akan bertemu di peringkat kumpulan Shopee Cup selepas JDT dan Buriram diundi berada di kumpulan berbeza pada Jumaat lalu.
Buriram United selaku juara bertahan telah diundi di dalam kumpulan A bersama BG Pathum United, Selangor, CAHN, Tampines Rovers dan juga pemenang perlawanan play-off satu.
Manakala JDT akan berada di kumpulan B bersama Bangkok United, Nam Dinh, Lion City Sailors, PKR Svay Rieng beserta pemenang perlawanan play-off antara Ezra mahupun Shan United.
Oleh itu, penjaga gawang Buriram United, Chatchai Budprom yang hadir ke sesi undian di Bangkok berharap supaya dapat berdepan JDT di final Shopee Cup selepas kedua-dua kelab berada di laluan berbeza.
Tambahnya lagi, beliau mahu memberikan peluang buat JDT menebus kekalahan ketika aksi AFC Champions League Elite (ACLE) musim lalu yang membawa Buriram United mara lebih jauh.
“Di final Shopee Cup, saya mahu bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) kerana saya mahu beri mereka peluang bagi menebus kekalahan tahun lalu,” kata Chatchai Budprom menurut SNE Sports.
Pada aksi pusingan 16 terbaik ACLE itu, JDT terpaksa hampa tunduk 0-1 kepada Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim hasil gol kemenangan oleh pemain muda Thailand, Suphanat Muenta.
Saingan peringkat kumpulan Shopee Cup dijadualkan bakal bermula pada Ogos hadapan selepas aksi play-off berjalan dengan jadual penuh dijangka akan diketahui tidak lama lagi.